RMS pernah tegur FA Selangor, senaraikan 7 poin utama demi kebangkitan Gergasi Merah


  • Podium
  • Jumaat, 27 Okt 2023

RMS mula mengambil alih Selangor sepenuhnya bermula musim 2019.

SEJAK pengambilalihan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah ke atas pasukan Selangor FC banyak perubahan yang berlaku terhadap pasukan itu meskipun masih belum meraih sebarang trofi dalam kejohanan domestik mahupun antarabangsa.

Namun ia tidak menghalang RMS untuk terus menambah baik sistem pembangunan bola sepak Selangor apabila mewujudkan pusat latihan yang lebih moden dan canggih berbanding pihak pengurusan sebelum ini.

RMS juga berjaya menyelesaikan isu tunggakan gaji yang pernah membelenggu skuad Gergasi Merah sehingga memaksa beberapa pemain meninggalkan pasukan.

Malah pihak pengurusan baharu Selangor juga dilihat sangat proaktif dalam membangunkan pasukan itu menjadi sebuah kelab yang berjaya dan mampu berdiri sendiri tanpa memikirkan bantuan daripada kerajaan negeri seperti sesetengah pasukan lain.

Tetapi masihkah anda ingat? Enam tahun lalu RMS menjadi antara individu penting menegur FA Selangor (FAS) supaya berubah ke arah lebih baik susulan isu dalaman yang berlaku dalam pasukan itu.

Tengku Amir Shah menyenaraikan tujuh 'point' penting yang perlu dilakukan pihak pengurusan Selangor ketika itu untuk mengembalikan kegemilangan Gergasi Merah.

"Beta bersama Tuanku Sultan amat bimbang akan kata-kata untuk perubahan drastik daripada FAS ini bagai menumbuk padi hampa. Maka pada itu, Tuanku Sultan sebagai Penaung Diraja FAS dan beta menyarankan untuk perubahan-perubahan berikut dilakukan.

"Jawatan Presiden tidak boleh dipegang lebih daripada 2 penggal. (satu penggal tidak lebih daripada 4 tahun). Kriteria untuk calon Presiden adalah individu ini tidak boleh terlibat secara langsung dalam politik. Tambahan pula, individu yang suka membuat kacau bilau dan mengganggu ketenteraman orang ramai sama sekali tidak perlu mencalonkan diri.

"Empat (4) orang ahli Exco kanan dan Setiausaha Agung mesti dilantik oleh Presiden FAS dan jawatan tersebut tidak boleh dipegang oleh orang yang sama lebih daripada 2 penggal berturut-turut (satu penggal tidak lebih daripada 4 tahun).

"Barisan Exco yang akan dipilih pada EGM yang akan datang, 60 peratus daripada mereka perlu terdiri daripada muka baharu. Ahli jawatankuasa baru perlu memberi dedikasi dan komitmen yang tinggi, meletakkan petunjuk prestasi dan bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapainya.

"Supaya Statut FAS dikemaskinikan. Ia termasuk memberi lebih kuasa eksekutif kepada Presiden, meletakkan jangka masa maksima memegang jawatan, portfolio ahli jawatankuasa supaya lebih efektif berteras kepada petunjuk prestasi utama agar memberi impak yang positif terhadap kemajuan bolasepak di negeri Selangor Darul Ehsan, kata beliau dalam Facebook enam tahun lalu.

RMS juga menekan isu kewangan kerana ketika itu Selangor menghadapi masalah tunggakan gaji sehingga menyebabkan beberapa pemain menghadapi kesukaran.

"Ketelusan dalam kalangan ahli-ahli kelab gabungan FAS. Ahli kelab gabungan perlu bergiat aktif sekiranya mahu mengundi. Satu cara adalah untuk kelab-kelab gabungan lebih melibatkan diri dalam usaha pembangunan bola sepak dan seharusnya menyampaikan laporan berkala kepada FAS. Proses ini perlu telus di mana kriteria dan penanda aras perlu diletakkan supaya perlaksanaannya berjaya.

"Posisi kewangan yang mampan dan kukuh. Seluruh barisan kepimpinan FAS perlu memikul tanggungjawab dan akauntabiliti agar keadaan kewangan persatuan menjadi kukuh dan mampan dalam masa yang terdekat. Ini termasuk tidak bergantung kepada pembiayaan daripada kerajaan negeri secara berterusan.

"Pembangunan bola sepak di negeri mesti dipertingkatkan. FAS perlu bekerjasama rapat dengan ahli-ahli kelab gabungan, pertandingan-pertandingan bola sepak komuniti dan lain-lain badan sektor awam dan swasta yang berkaitan dalam menyumbang kepada pembangunan akar umbi dan belia bola sepak di Selangor," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram