Ditewaskan Hai Phong, kelemahan ketara wajib Sabah atasi musim depan


  • Podium
  • Jumaat, 27 Okt 2023

Sabah FC gagal meneruskan rentak kemenangan selepas tewas 2-3 di tangan Hai Phong. — Instagram/officialsabahfc

IMPIAN Sabah FC untuk meneruskan rentak kemenangan di pentas Piala AFC 2023 gagal apabila wakil Vietnam, Haiphong FC menjadi pasukan pertama mencalar rekod bersih The Rhinos dengan keputusan 2-3 pada aksi Kumpulan H, di Stadium Lach Tray, Hanoi pada Rabu.

Dalam dua perlawanan Kumpulan H kempen Piala AFC sebelum ini, The Rhinos menewaskan kelab Singapura, Hougang United FC dengan keputusan 3-1 dan berpesta gol membenam juara Liga 1 Indonesia musim 2022/23, PSM Makassar 5-0.

Namun, ketika berdepan Haiphong, gawang Sabah FC mula dirobek menerusi sumbangan dari Nguyen Huu Son seawal minit ke-14 dan berselang empat minit, hati penyokong The Rhinos sekali lagi berkecai apabila rembatan luar kotak daripada Tien Dung Dam gagal ditepis keluar oleh penjaga gol, Damien Lim.

Sabah FC kemudiannya cuba merapatkan kedudukan pada minit ke-71 menerusi tandukan Ramon Machado yang menerima hantaran cantik daripada Darren Lok.

Tetapi, kegembiraan itu tidak berpanjangan apabila Tien Dung menggandakan jaringan peribadinya pada minit ke-72 menerusi percubaan deras di dalam kotak penalti sekali gus menjadi wira untuk mengesahkan tiga mata menjadi milik Haiphong.

Skuad The Rhinos sekali lagi berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan cantik pemain gantian, Gary Steven Robbat.

Kekalahan Sabah di tangan wakil kelab Vietnam itu memperlihatkan beberapa bahagian mudah dirobek oleh pihak lawan.

WhatsApp Image 2023-10-26 at 22.31.22

Penyerang Sabah, Ramon antara yang membantu Sang Badak mencetak jaringan ketika aksi berdepan Hai Phong. — Instagram/officialsabahfc

Oleh itu, berdasarkan perlawanan berdepan Hai Phong, pihak pengurusan Sabah FC perlu mengintai beberapa pemain yang sesuai untuk dibawa masuk pada musim depan menutup kelompongan di beberapa bahagian.

1. Posisi penjaga gol masih belum kukuh

Tugas penjaga gol dalam sebuah pasukan adalah penting kerana merupakan benteng akhir bagi menjaga gawang daripada dibolosi.

Melihat kepada perlawanan berdepan Hai Phong, penjaga gol Sabah FC, Damien Lim dilihat sering melakukan kesalahan kecil dengan memberikan dua gol kepada pasukan lawan.

Dalam pada itu, penjaga gol Negeri Sembilan FC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dilihat sebagai seorang yang sesuai untuk menggantikan Damien pada musim depan.

Untuk rekod, pemain berketinggian 1.83 meter itu pernah menjalani latihan dan menjalani sesi percubaan bersama kelab LaLiga 2, CF Fuenlabrada di Sepanyol selama seminggu pada 2021.

2. Telmo Canstaheira perlu diganti

Pemain tengah dalam bola sepak merupakan barisan penting untuk melakukan serangan.

Melihat kepada perlawanan di laman lawan, import kelahiran Portugal, Telmo Canstaheira menampilkan persembahan yang kurang memuaskan dan tidak rugi jika Sabah FC sudah mula mencongak mencari pengganti.

Antara calon yang sesuai adalah pemain kebangsaan Tajikistan, Amirbek Juraboev dilihat sesuai untuk mengawal bahagian tengah yang tampil cemerlang bersama Kedah Darul Aman FC.

Amirbek berjaya mengukuhkan namanya sebagai salah seorang pemain tengah terbaik dalam Liga Super apabila mampu menggalas tanggungjawab untuk mematahkan serangan lawan selain berkeupayaan menggegarkan jaring.

3. Rizal Ghazali masih bek kanan utama Sabah

Bek kanan dalam setiap perlawanan menggalas tugas untuk mencegah serangan lawan yang menyerang di sisi pertahanan bahagian kanan.

Dalam perlawanan itu, posisi bek kanan Sabah FC diisi import Korea Selatan, Ko Kwang-min yang beraksi cukup baik dari segi pertahanan, namun kurang memberi impak dari segi serangan.

Dalam pada itu, bek kanan kelahiran Kedah itu dilihat sesuai untuk menggantikan Kwang-min.

Hal ini kerana, ketiadaan bek kanan, Rizal Ghazali dalam aksi tersebut dilihat sedikit menyukarkan usaha pasukan untuk membuat serangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram