Selangor 'mengganas' lawan kelab amatur, Gombak FA tenang petik nama Kelantan FC


  • Podium
  • Khamis, 26 Okt 2023

Selangor berjaya menewaskan Gombak FA dengan keputusan 8-0 pada Rabu.

SELEPAS berehat hampir sebulan tanpa sebarang perlawanan kompetitif Selangor FC melepaskan geram dengan membenam pasukan amatur, Gombak FA 8-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor pada Rabu.

Duo penyerang import Selangor, Richmond Boakye dan Ayron del Valle berjaya menyumbangkan dua gol manakala Faisal Halim, Aliff Izwan, Yohandry Orozco dan Danial Asri masing-masing mencatatkan satu jaringan.

Perlawanan persabahatan itu menjadi tumpuan seluruh penyokong bola sepak selepas Selangor berjaya membenam Gombak FA dengan jaringan yang sangat besar.

Tanpa sebarang perlawanan domestik, dalam media sosial rata-rata penyokong lawan memperlekehkan pemilihan Gombak FA sebagai 'sparring' match Selangor untuk menjaga tahap kecergasan menjelang perlawanan Liga Super pada 25 November depan.

Asal Gombak

Penduduk Gombak hadir bagi memberikan sokongan buat kedua-dua pasukan. Facebook/Asal Gombak

Malah ada yang secara sinis mencadangkan supaya Selangor menggantikan Johor Darul Takzim dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan selepas menewaskan Gombak.

Walaupun perlawanan itu dilihat mudah buat penyokong lawan, namun tidak bagi penduduk Gombak apabila mereka teruja melihat pasukan itu beraksi menentang Gergasi Merah.

Dalam posting laman Facebook Asal Gombak, mereka mencadangkan agar pasukan Gombak FA menjadikan Stadium Selayang sebagai 'home ground' untuk menarik lebih ramai sokongan penyokong.

"Sedikit coretan aktiviti dari Persatuan Komuniti Asal Gombak malam tadi (Rabu) iaitu menonton perlawanan persahabatan dari pasukan Persatuan Bola Sepak Daerah Gombak menentang Selangor FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

"Perlawanan berkesudahan dengan jaringan 0-8 yang berpihak kepada pasukan Selangor FC. Ia dianggarkan seramai 7,000 penonton yang hadir menyaksikannya.

"Kalau akan datang Gombak FA jadikan Stadium Selayang sebagai home pun okay, mesti ramai yang mampu datang menyokong," katanya.

Gombak

Posting dimuat naik oleh Gombak FA. Facebook/Gombak FA

Walaupun tewas dengan jaringan besar ia tidak memberi kesan kepada pihak pengurusan Gombak FA malah mereka bersyukur kerana tidak tewas dengan jaringan lebih besar seperti yang dialami oleh Kelantan FC.

Posting tersebut dimuat naik oleh Gombak FA dalam Facebook dengan kapsyen, 'Alhamdulillah, tak teruk kena malam tadi (Selasa)' bersama gambar keputusan Selangor dan Kelantan pada perlawanan 25 Ogos lalu.

Kelantan musim ini dibolosi dengan 87 jaringan dalam 21 perlawanan dan menjadi antara pasukan yang paling bermasalah apabila timbul pelbagai isu membabitkan The Red Warriors (TRW). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram