BEKAS pemain Jerman, Mesut Ozil menyifatkan pertahanan Manchester United serta penjaga golnya, Harry Maguire dan Andre Onana berjaya mengunci mulut pengkritik mereka.
Ozil menyatakan sedemikian selepas United berjaya menundukkan FC Copenhagen 1-0 dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-juara Eropah (UCL) awal pagi Rabu.
"Maguire dan Onana memang layak - berjaya mendiamkan 'haters' mereka," katanya ringkas dalam satu ciapan di laman X miliknya.
Sebelum ini Maguire sering menjadi perhatian dunia akibat persembahannya yang agak mengecewakan lebih-lebih lagi ketika musim 2021/2022, biarpun bergelar sebagai kapten.
Dalam masa sama, Onana yang berhijrah dari gergasi Itali, Inter Milan awal musim ini sering merekodkan permainan kurang memuaskan apabila gawangnya kerap dibolosi pihak lawan sejak pra musim.
Bagaimanapun, kemenangan sulung United dalam UCL awal pagi Rabu akhirnya menamatkan semua tohmahan liar yang dihamburkan kepada kedua-dua pemain berkenaan.
Dalam perlawanan itu, United berdepan situasi sukar apabila taktikal permainan yang dimainkan gagal menembusi pertahanan lawan.
Kebuntuan anak-anak buah Erik Ten Hag akhirnya berakhir selepas Maguire muncul wira apabila berjaya menanduk kemas bola hasil hantaran lintang dari pemain tengah, Eriksen ke gawang lawan pada minit ke-72.
Manakala Onana pula berjaya menyelamatkan sepakan penalti FC Copenhagen beberapa saat sebelum wisel penamat ditiupkan, sekali gus melayakkan kemenangan ke atas United.
Sebelum ini, Ozil yang lantang bersuara tentang isu kemanusiaan telah mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin selepas Israel bertindak kejam kepada mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram