Bakal tarik 20,000 pemain, Nimbus Esports Fest 2023 jadi platform cungkil bakat baharu e-sukan negara


  • eSports
  • Rabu, 25 Okt 2023

Organisasi yang terlibat dengan penganjuran Nimbus Esports Fest 2023.

DEMI menyahut seruan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memajukan industri e-sukan negara, Nimbus Games mengambil pendekatan untuk menganjurkan festival sukan e-sukan terbesar di Malaysia tahun ini.

Nimbus Esports Fest 2023 merupakan festival e-sukan tahunan terbesar di Malaysia dengan penganjuran kali pertama itu bakal menghimpunkan lebih 20,000 pemain industri sukan permainan video dari seluruh negara pada 25 November sehingga 26 November depan.

WhatsApp Image 2023-10-25 at 1.55.41 PM

Pengasas dan Pengarah Nimbus Games, Datuk Kaiwen Chong (kanan) melancarkan Nimbus Esports Fest 2023.

Ketua Produser Nimbus Games, Joseph Teng Tze Luen berkata, penganjuran festival itu adalah sebagai platform untuk membangunkan bakat-bakat baharu dalam industri e-sukan.

"Ini merupakan kali pertama festival terbesar seumpamanya dianjurkan, kami berharap ia akan menjadi acara tahunan dengan sokongan kuat yang dberikan oleh KBS dan Persatuan Esports Malaysia (MESF).

"Nimbus Esports Fest akan menghimpunkan para penggiat sukan permainan video termasuk pemain, pembina, pengeluar dan juga pengulas industri e-sukan dalam satu acara," katanya.

HB

Homebois antara pasukan yang bakal menyertai Nimbus Esports Fest 2023. Facebook/MPL

Dengan industri e-sukan mula mendapat sambutan ramai pihak di seluruh dunia, Joseph Teng berkata, Malaysia membuktikan bahawa negara ini mempunyai ramai bakat-bakat hebat selepas mendapat tempat kedua acara Sukan Asia di China baru-baru ini.

"Peningkatan minat dalam kalangan belia Malaysia juga memberikan keyakinan bahawa Nimbus Esports Fest boleh menjadi sebagai sebuah medan untuk mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam sukan ini.

"Ini membuktikan bahawa negara kita turut mempunyai pemain bertaraf antarabangsa dan mampu bersaing di pentas tertinggi jika diberi pendedahan dan sokongan semua pihak terlibat.

"Kita perlu mempunyai pelapis dan mencari bakat baharu, festival itu dilihat sebagai satu acara yang positif untuk memperkenalkan sukan permainan video kepada ibu bapa yang skeptikal terhadap potensi sukan ini," jelasnya.

Sebanyak 120 pasukan akan bertanding merebut hadiah terkumpul sebanyak RM 30,000 dalam empat pertandingan permainan video seperti PUBG Mobile, Mobile Legend: Bang Bang, Valorant dan Tekken.

Antara pasukan profesional yang akan menyertai Nimbus Esports Fest ialah Team Haq, Homebois, Todak, RSG Malaysia dan MPXNSEA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram