MISI wajib menang menanti Manchester United dalam aksi ketiga Kumpulan A Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dengan mereka kini berada di kedudukan tercorot.
Dalam dua perlawanan sebelum ini, skuad The Reds mengalami dua kekalahan berturut-turut, termasuk kekecewaan ketika menerima kunjungan Galatasaray.
Jadi, peluang cerah dimiliki pasukan kendalian Erik ten Hag untuk menambah baik kedudukan apabila mereka akan berdepan kelab Denmark, Copenhagen pada Rabu.
Perlawanan itu sudah semestinya memerlukan skuad terbaik bagi membolehkan mereka meraih mata penting untuk layak ke pusingan kalah mati.
Bagaimanapun, baru-baru ini, pemain sayap muda Manchester United, Amad Diallo seakan-akan memberi mesej tersirat di laman Snapchat peribadinya.
— . (@ftblvidsss_) October 23, 2023
Dalam klip berdurasi 12 saat berkenaan, Diallo dilihat sedang menimbang bola dengan kapsyen 'kesihatan adalah lebih penting berbanding bola sepak'.
Ia sudah tentu menimbulkan tanda tanya memandangkan pemain kelahiran Ivory Coast tersebut dilaporkan cedera sebelum aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Wolverhampton Wanderers.
Ketiadaannya dilihat cukup merisaukan kualiti serta kuantiti pemain dimiliki skuad The Red Devils di posisi sayap, lebih-lebih lagi apabila ten Hag menyisihkan pemain antarabangsa England, Jadon Sancho.
Posisi berkenaan kini hanya diisi Antony, Marcus Rashford dan Alejandro Garnacho sementara Mason Mount juga kerap diberikan peranan pada penghujung permainan.
Kepulangan Diallo sudah tentu dinanti-nantikan ten Hag yang mengharapkan lebih ramai pemain akan terus cergas untuk menghidupkan semula musim mereka yang kurang konsisten.
Dalam saingan EPL, Manchester United kini berada di tangga kelapan selepas sembilan perlawanan dengan hanya 15 mata dikutip pasukan berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram