MANCHESTER United menewaskan Sheffield United 2-1 awal pagi Ahad dalam suasana pilu ketika kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengucapkan 'selamat jalan' kepada legenda England, Bobby Charlton, yang meninggal dunia pada Sabtu.
Keluarga Charlton mengumumkan pemenang Piala Dunia 1966 bersama England itu, yang menikmati karier gemilang bersama United, menghembuskan nafas terakhir pada usia 86 tahun.
Penghormatan mencurah-curah dari seluruh dunia bola sepak, dengan bekas pemain United dan kapten England, David Beckham menyanjung Charlton sebagai wira negara dalam Instagram.
Pemain United juga memberi penghormatan terakhir kepada Charlton sebelum sepak mula menentang kelab tercorot EPL, Sheffield United pada perlawanan di Bramall Lane.
Beckham menyanjung Charlton sebagai wira England.
Kapten United, Bruno Fernandes meletakkan kalungan bunga dan gambar bekas pemain tengah menyerang itu dipaparkan di skrin gergasi, manakala peminat melaungkan nama Charlton ketika perlawanan.
Pengurus United, Erik ten Hag memuji penyokong atas penghormatan mereka.
"Ia fantastik, kami perlu menyanjungnya, mengucapkan selamat tinggal, mengingati Bobby Charlton kerana apa yang dia lakukan adalah hebat.
"Dia cemerlang di padang dan di luar padang. Kami mahu mengingati Sir Bobby dan saya fikir kami melakukannya dengan cara yang baik," katanya kepada Sky Sports.
McTominay mendedikasikan kemenangan itu kepada keluarga Charlton.
Pemain United yang lain seperti Aaron Wan-Bissaka, Andre Onana, Brandon Williams dan Christian Eriksen turut mengucapkan takziah kepada legenda pasukan itu.
Manakala, Scott McTominay dalam Instagram, mendedikasikan kemenangan itu kepada keluarga Charlton yang telah banyak menyumbang kejayaan buat England serta United.
Untuk info, Charlton adalah salah seorang mangsa nahas udara Munich pada 1958 yang terselamat bersama pengurusnya, Matt Busby namun mengorbankan lapan rakan sepasukannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram