[VIDEO] Pesanan untuk KPG jangan lupa Syafiq Ahmad, Syahmi Safari — TMJ


  • Podium
  • Selasa, 24 Okt 2023

TMJ cadangkan Syafiq Ahmad dalam skuad kebangsaan dan memberi nasihat kepada Pan-gon agar tidak melupakan pemain itu.

"SAYA ingin pesan kepada Kim Pan-gon jangan lupa Syafiq Ahmad dan Syahmi Safari."

Itulah pesanan yang disampaikan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam program bual bicara Astro Arena, Nindia Bola pada Isnin.

Ia susulan selepas dua pemain itu tidak tersenarai dalam skuad kebangsaan untuk menghadapi Pestabola Merdeka yang menyaksikan Harimau Malaya meraih tempat kedua selepas tewas di tangan Tajikistan 0-2 baru-baru ini.

Tanpa penyerang kedua, skuad kebangsaan tampak sukar untuk mencari gol selepas hanya membawa Darren Lok sebagai penyerang tunggal ketika berdepan Tajikistan.

TMJ dalam program itu menyifatkan bahawa Syafiq merupakan seorang pemain yang akan memberikan segalanya buat pasukan yang diwakilinya.

"Saya rasa Syafiq Ahmad perlu ada sebagai penyerang kita (Harimau Malaya), kerana saya sesekali tidak pernah kecewa apabila kami (JDT) masukkan dia.

"Dia adalah seorang pemain yang memberikan segala-galanya 100 peratus dari segi 'pressing', 'effort', 'fight', kualiti dan 'intelligent' dan bagi inilah pemain-pemain yang perlu ada dalam Harimau Malaya," katanya dalam Nindia Bola.

Tambahnya lagi, ketiadaan nama Syafiq serta Syahmi kerana Pan-gon mahukan pemain yang mempunyai minit permainan yang tinggi.

TMJ dalam nada sindiran sempat menyarankan kepada Pan-gon untuk memilih pemain-pemain PDRM FC jika beliau mahukan minit perlawanan.

"Tetapi bila saya bangkitkan benda ini, jurulatih memberitahu saya berkenaan minit perlawanan, kalau minit perlawanan Akhyar Rashid kurang minit perlawanan tetapi setiap kali bermain Harimau Malaya dia perform dan skor.

"Di JDT latihan yang mereka terima ialah latihan berintensiti tinggi, jika mereka dipilih untuk beraksi bagi saya tiada masalah.

"Kalau nak tengok pada minit saya nak cadangkan kepada Pan-gon untuk ambil semua pemain PDRM FC yang main 90 minit setiap perlawanan.

"Tetapi kalau anda nak kualiti 'player' di JDT ada ramai dan dia sepatutnya pakai sepenuhnya," jelasnya.

Harimau Malaya akan memulakan perlawanan pembukaan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Asia/Piala Dunia 2026 antara Malaysia dan Kyrgyzstan pada 16 November depan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram