Lepas TMJ, fans mahu Nindia Bola jemput orang penting SFC


  • Podium
  • Isnin, 23 Okt 2023

Penyokong mahu orang penting dalam sesebuah kelab bola menjadi tetamu undangan seterusnya bagi membincangkan isu bola sepak negara.

SEMUA penyokong bola sepak pastinya tidak sabar menunggu di hadapan televisyen masing-masing tepat pukul 8 malam untuk menyaksikan program bual bicara Astro Arena, Nindia Bola pada Isnin.

Ini kerana Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi tetamu undangan istimewa buat rancangan yang dikendalikan oleh hos terkenal, Hafizal Hamad bersama pembantu jurulatih baharu Harimau Muda, Muhammad Shukor Adan.

Meskipun program temu bual itu tidak asing bagi TMJ namun setiap kali beliau menjadi tetamu undangan pastinya akan dibangkitkan isu-isu semasa yang sedang dihadapi Liga Malaysia.

Menerusi poster yang diiklankan oleh Astro Arena, topik tumpuan malam ini (Isnin) ialah berkenaan Johor Darul Takzim (JDT) sebagai juara sedekad Liga Super serta perancangan musim hadapan Harimau Selatan.

Selain itu, TMJ juga akan membincangkan misi JDT ke Asia serta 'aksiom' TMJ dalam Liga M musim ini.

Ini bukanlah kali pertama TMJ dijemput ke dalam program itu, namun beliau menjadi satu-satunya pemilik yang pernah tampil mengulas isu-isu semasa bola sepak.

TMJ

Topik yang akan dibincangkan dalam Nindia Bola bersama TMJ pada Isnin.

Mahu melihat perubahan oleh Nindia Bola, penyokong Liga M mahu program itu menjemput beberapa individu penting seperti pemilik kelab atau Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan lain untuk berbincang isu semasa bola sepak tanah air.

Dalam media sosial, beberapa penyokong mencadangkan nama Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Norizam Tukiman untuk menjadi tetamu undangan seterusnya.

"Harap selepas ini giliran RMS pula dijemput ke Astro Arena, nak juga tengok 'knowledge' dan 'passion' beliau dalam bola sepak," kata Wak Denz.

"Kalau boleh ajak semua pasukan, kalau boleh dengan pemilik Kelantan sekali," ujar Mohd Eizlan.

"Setuju sangat kalau Nindia Bola jemput pasukan-pasukan lain juga," jelas ZulSaleh HB.

"Come on, selepas ini bawa Selangor pula," luah Muhammad al-Basit Abdul Barab.

Adakah anda tidak sabar menunggu pendedahan yang dibuat TMJ lebih-lebih perancangan JDT musim depan? Ayuh beramai-ramai menyaksikan program Nindia Bola di Astro Arena pukul 8.30 malam ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram