SUSULAN masalah kelewatan gaji yang memberi kesan kepada pemain dalam liga, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan mengambil sedikit masa lagi untuk menilai kelayakan kelab mendapatkan lesen kebangsaan bagi musim 2024.
Malah, pengelola saingan liga domestik itu juga bekerjasama dengan kelab yang terjejas akibat tunggakan gaji untuk menyelesaikan perkara itu.
MFL memaklumkan First Instance Body (FIB) memerlukan sedikit masa lagi untuk mendapatkan butiran tambahan dari segi dokumentasi yang dikemukakan pasukan Liga Super bagi mendapatkan lesen kebangsaan musim depan.
Dengan musim yang akan berakhir dalam tempoh sebulan, beberapa kelab difahamkan masih tidak membayar pemain dan kakitangan mereka selama berbulan-bulan.
Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan dan juga Kuala Lumpur bergelut dengan tunggakan gaji.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, FIB akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi untuk memutuskan 14 pasukan yang bertanding selepas badan bebas itu menyelesaikan semakan awal dokumen yang dihantar oleh pasukan itu pada 30 September.
“Pada masa sama, MFL menyedari kelewatan gaji yang menjejaskan beberapa kelab. Kita telah melihat kemas kini media sosial dan laporan yang dibuat oleh media tempatan.
“MFL bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) berhubung aduan rasmi yang diterima badan berkenaan. Ia akan dibawa ke FIB.
“MFL juga sedang menghubungi kelab terbabit bagi memastikan penyelesaian terbaik dapat dicapai bagi menyelesaikan masalah itu. MFL ingin menggesa mereka yang terjejas untuk tampil melaporkan kepada FAM dan PFAM. Jangan hanya menggunakan media sosial untuk menceritakan masalah anda, gunakan saluran rasmi,” katanya.
Stuart berkata, MFL akan bekerjasama dengan kelab yang terjejas akibat tunggakan gaji untuk mencari jalan penyelesaian. — Agensi
Selain mencari penyelesaian terbaik bagi masalah tunggakan gaji, MFL turut menegaskan mereka akan memandang serius pandangan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung pelaksanaan Financial Fair Play (FFP) dalam liga bagi mengawal perbelanjaan kelab dalam liga.
Stuart berkata, protokol itu sedang diperhalusi sebelum ia diperkenalkan dalam Liga Malaysia (Liga M).
“MFL, bagaimanapun, ingin menegaskan bahawa semua kelab harus bertanggungjawab sepenuhnya apabila menguruskan perbelanjaan mereka. Ini mesti dilakukan untuk memastikan mereka tidak terjebak dengan kelewatan gaji,” jelasnya.
Dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh MFL, Presiden PFAM, Safee Sali berharap badan itu akan mengetatkan peraturan bagi memastikan tiada kelab yang ingkar.
“Sesetengah pemain berkata mereka tidak akan melaporkan isu gaji kerana mahu pasukan itu kekal dalam liga musim depan. Mereka menghormati kelab tetapi saya berharap penghormatan yang sama akan ditunjukkan kepada pemain ini oleh kelab.
“Audit untuk kelab semasa pelesenan kelab mestilah lebih baik. Lihat kewangan mereka untuk satu hingga dua tahun dan juga perancangan mereka mestilah untuk jangka panjang dan dari mana kewangan mereka datang.
“Kelab perlu berbelanja mengikut kemampuan mereka. Ikut bajet dan realistik,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram