Strategi set-piece Ulsan Hyundai bunuh kami — Solari


  • Podium
  • Rabu, 25 Okt 2023

Jordi Amat bermain 90 minit permainan dalam aksi Harimau Selatan menentang Ulsan. — Facebook/JDT

ULSAN Hyundai membalas dendam kekalahan musim lalu dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) kepada Johor Darul Takzim (JDT) selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas kelab Malaysia itu pada perlawanan ketiga Kumpulan I di Stadium Ulsan Munsu di Korea Selatan pada Selasa.

Pengurus JDT, Esteban Solari meletakkan barisan terbaik untuk cuba mengejutkan juara Liga Korea Selatan itu tetapi Harimau Selatan lambat menemui rentak mereka dalam cuaca sejuk dan sudah ketinggalan tiga gol selepas hanya 18 minit.

Kapten pasukan, Jung Seung-hyun meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit kelima menerusi sepakan sudut daripada pemain tengah Sweden, Gustav Erik Ludwigson.

Pemain Sweden itu terus membolosi pertahanan juara Liga Super 10 tahun berturut-turut itu dengan menjaringkan dua gol pada minit ke-12 dan ke-18.

JDT kelihatan seperti diberikan talian hayat apabila pemain pertahanan Ulsan, Kim Tae-hwan dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua tetapi jaringan kekal sehingga separuh masa pertama tamat.

Beberapa ratus penyokong JDT yang datang ke Ulsan akhirnya bersorak gembira pada minit ke-53 apabila Bergson da Silva berjaya merembat bola melepasi penjaga gol antarabangsa Korea Selatan, Jo Hyeon-woo untuk gol keduanya di ACL musim ini.

WhatsApp Image 2023-10-25 at 10.16.27-2

Bergson menjadi penjaring tunggal JDT dalam aksi tumpas di tangan Ulsan. — Facebook/JDT

Susulan kekalahan itu, JDT jatuh ke tempat ketiga dengan tiga mata manakala Ulsan naik ke tangga kedua dengan enam mata selepas tiga perlawanan. Ia merupakan kekalahan kedua buat JDT dalam ACL musim ini.

JDT tewas pada perlawanan pembukaan mereka 0-1 kepada wakil Jepun, Kawasaki Frontale di Iskandar Puteri pada 19 September tetapi bangkit dengan kemenangan 4-2 di tempat lawan ke atas kelab Thailand, BG Pathum pada 3 Oktober.

Jurulatih Harimau Selatan, Esteban Solari berkata, mereka telah dihukum oleh strategi set-piece Ulsan Hyundai.

“Fokus kami terjejas selepas dua gol dijaringkan tanpa penjaga gol kami menyentuh bola. Apa pun, terdapat banyak perkara positif yang boleh diambil daripada perlawanan itu,” katanya.

Bagi pengendali Ulsan pula, Hong Myung-bo, perlawanan itu memberi makna dan menjadi tonik kepada pasukannya selepas tewas dałam empat perlawanan sebelum ini.

“Selepas tanpa kemenangan dalam empat perlawanan, kemenangan dalam tiga gol amat bermakna dan akan mengembalikan keyakinan kepada pasukan,” kata jurulatih Ulsan Hong Myung-bo.

Musim lalu, JDT menang 2-1 dan seri 0-0 menentang Ulsan ketika kedua-dua perlawanan ACL berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim.

Kedua-dua pasukan akan bertemu semula untuk perlawanan keempat Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim pada 7 November. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram