[VIDEO] 'He will be our player', TMJ kongsi kelebihan Jalil Elias bakal untungkan JDT


  • Podium
  • Rabu, 25 Okt 2023

Elias dilihat mempunyai kualiti untuk menjadikan JDT sebagai salah sebuah pasukan terbaik di Asia Tenggara. — Agensi

BUKAN lagi sekadar khabar angin, pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris akhirnya mengesahkan pemain dari Argentina, Jalil Elias bakal menyertai Harimau Selatan pada Januari ini.

Pendedahan yang menggembirakan penyokong kelab gergasi Selatan tanah air itu dikongsi sendiri oleh Tunku Ismail dalam satu wawancara bersama Nadi Arena pada Selasa.

Beliau memberitahu bahawa pemain berusia 27 tahun itu akan mula beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga M) bersama Harimau Selatan selepas selesai beraksi bersama kelabnya di Argentina iaitu San Lorenzo.

"Jalil Elias will be our player, yes. Jalil Elias akan menjadi pemain JDT selepas dia selesai beraksi di sana (Argentina). Dia berusia 27 tahun dan merupakan pemain yang cukup baik di bahagian tengah, boleh bermain box-to-box dan defensive midfielder.

“Saya rasa dia akan beraksi dengan baik bersama JDT. Dia akan memberi lebih banyak keseimbangan di bahagian tengah pasukan,” kata TMJ pada satu wawancara bersama Astro Arena.

tmj

TMJ mengesahkan Elias akan menyarung jersi JDT pada musim depan.

Khabar angin itu berpunca daripada satu ciapan daripada wartawan antarabangsa, Cesar Luis Merlo dengan laporan menyebut perpindahan tersebut akan disahkan selepas kontraknya tamat tidak lama lagi.

Pemain yang memiliki nilai pasaran mencecah €2.8 juta (RM14.19 juta) itu memulakan kariernya dengan menyarung jersi Newell’s Old Boy sebelum diserap masuk ke pasukan utama beberapa tahun kemudian dan dipinjamkan ke Godoy Cruz dan menyertai kelab itu secara tetap.

Musim ini pula bersama San Lorenzo, statistik Elias dalam kesemua kejohanan cukup memberangsangkan apabila dia sudah merekodkan 43 penampilan dengan dua gol dan tiga bantuan jaringan dicatatkan dalam tempoh terbabit.

Jadi, tidak hairanlah apabila ramai penyokong Harimau Selatan terus menantikan pengumuman rasmi daripada JDT mengenai kehadiran pemain terbabit dengan mereka terus memasang impian untuk beraksi lebih baik musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram