[VIDEO] Bukan setakat Jordi Amat, 2 bintang warisan 'terlebih OT' juga punca JDT tumbang di tangan Ulsan


  • Podium
  • Khamis, 26 Okt 2023

Skuad Harimau Selatan kini jatuh ke tangga ketiga kumpulan dengan mengumpul tiga mata manakala Ulsan Hyundai yang naik ke kedudukan kedua berkongsi enam mata bersama pendahulu, Kawasaki Frontale. — Facebook/JDT

HARI tidak selalu indah buat Johor Darul Takzim (JDT) apabila gagal untuk meraih sebarang mata untuk dibawa ke tanah air selepas terpaksa akur merekodkan kekalahan 1-3 kepada Ulsan Hyundai dalam aksi ketiga Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada Rabu.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Ulsan Munsu, Ulsan Korea Selatan itu sebaliknya membantu skuad Tigers tersebut akhirnya menyaksikan wakil Korea Selatan berkenaan berhasil membalas dendam kekalahan musim lalu ke atas skuad Harimau Selatan.

Gawang Harimau Selatan yang dijaga penjaga gol, Syihan Hazmi mula dibolosi seawal minit kelima menerusi jaringan Jung Seung-hyun dan dua jaringan gol dalam tempoh enam minit diledak oleh penyerang kelahiran Sweden, Gustav Ludwigson pada minit ke-12 dan 18.

Walaupun juara bertahan Liga Super itu kelihatan seperti diberikan talian hayat apabila pemain pertahanan Ulsan, Kim Tae-hwan dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua namun Harimau Selatan tidak berhasil meledak sebarang jaringan sehingga separuh masa pertama tamat.

Jaringan tunggal dari Bergson semasa aksi menentang Ulsan. — Facebook/ACL

Ratusan penyokong JDT yang datang ke Ulsan akhirnya bersorak gembira pada minit ke-53 apabila Bergson da Silva berjaya merembat bola melepasi penjaga gol antarabangsa Korea Selatan, Jo Hyeon-woo untuk gol keduanya di kejohanan tertinggi di Asia itu musim ini.

Selepas perlawanan dengan cuaca musim sejuk itu, ramai penyokong Harimau Selatan mula meletakkan kekalahan tersebut berada di bahu ketua pasukan, Jordi Amat yang dianggap tidak menjalankan tugas dengan sebaiknya ketika menerima asakan pasukan lawan.

Antara yang menjadi tumpuan penyokong apabila sebahagian pengikut Harimau Selatan berpendapat dua gol awal dihasilkan oleh skuad Tigers adalah disebabkan kelemahan kawalan pemain naturalisasi Indonesia itu.

WhatsApp Image 2023-10-25 at 19.04.20

Matt Davies merupakan watak utama untuk menjadi bek kanan Harimau Selatan. — Facebook/JDT

Selain daripada kelalaian pemain berusia 31 tahun itu, sebahagian daripada penyokong domestik juga seakan-akan menyalahkan permainan dari dua bintang warisan negara iaitu Matthew Davies dan Corbin-Ong juga punca terhadap kekalahan juara Piala FA 2023 itu di bumi Korea Selatan tersebut.

Segelintir daripada pemain ke-12 Harimau Selatan melihat dua pemain pertahanan itu tidak memberikan permainan cemerlang seperti kebiasaannya dan penyokong melihat faktor keletihan menjadi punca mereka kurang memberikan persembahan berkualiti untuk mengekang pemain kelab divisyen satu Korea Selatan itu.

"Corbin banyak drop. Mungkin terlalu banyak perlawanan dan tekanan sebab tempat dia tiada pengganti. Mungkin perlawanan seterusnya, boleh beri ruang dekat Oscar Arribas," kata penyokong JDT, Offclca9.

"Matt (Matthew) nampaklah penat, mungkin sebab main dengan kebangsaan lagi. Ada juga silap dia buat itu. Tak nampak sangat macam aksi selalu," tambah penyokong Harimau Selatan, Mizaza87.

WhatsApp Image 2023-10-25 at 19.04.20 (1)

Corbin ketika cuba untuk mengekang pemain dari Ulsan ketika perlawanan menentang skuad Tigers. — Facebook/JDT

Faktor keletihan disebut menjadi punca persembahan kedua-dua bek itu menurun susulan Matthew ataupun Matt dan Corbin antara tonggak utama skuad kebangsaan dalam menempuh dua perlawanan kejohanan Pestabola Merdeka dan sumbangan mereka berhasil membantu Harimau Malaya mendapat naib johan.

Selepas panggilan negara, dua bek JDT itu juga membantu Harimau Selatan dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 19 Oktober lalu menentang Perak FC di Stadium Perak, Ipoh dengan meraih keputusan 4-1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram