Tiada peluang beraksi, tapi Sharul Nazeem gembira raih pengalaman bersama HM


  • Podium
  • Rabu, 25 Okt 2023

Sharul Nazeem kini mahu fokus untuk membantu skuad Gergasi Merah dalam Liga Super. — Facebook/Selangor FC

PERTENGAHAN bulan lalu menyaksikan pasukan negara beraksi dalam Pestabola Merdeka yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pertandingan yang disertai Harimau Malaya, India dan Tajikistan itu menyaksikan pasukan negara tewas di perlawanan akhir kepada Tajikistan pada 17 Oktober.

Ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap peluang skuad kebangsaan untuk menambah baik kedudukan dalam ranking FIFA dengan mereka kini menduduki tangga ke-134 dunia.

Bagaimanapun, perlawanan menentang pasukan lebih berkualiti terbabit sudah tentu membolehkan pengendali pasukan, Kim Pan-gon mengenal pasti kebolehan anak-anak buahnya.

Selain itu, aksi Pestabola Merdeka tersebut juga boleh menjadi satu pengalaman berharga buat pemain muda untuk berdepan lawan yang lebih sukar.

Antara yang berpendapat sedemikian ialah bek tengah Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar meskipun dia tidak beraksi dalam kedua-dua perlawanan menentang India dan Tajikistan.

387123906_1024296795310223_3906618760896494257_n

Sharul Nazeem berpeluang berlatih bersama pasukan negara pertengahan Oktober lalu. Facebook/FAM

“Saya gembira dapat panggilan kali ini, walaupun kami kalah dalam perlawanan akhir, kita dapat pelajari kekurangan serta kebolehan yang ada. Saya harap ada lagi peluang untuk saya berjuang untuk negara.

"Setakat ini, dalam perancangan barisan jurulatih, kami akan menghadapi perlawanan persahabatan untuk mengekalkan kecergasan bagi menentang Perak FC pada bulan November nanti,” katanya.

Selain Sharul, empat pemain Selangor FC lain turut dipanggil Pan-gon untuk aksi Pestabola Merdeka 2023, iaitu Faisal Halim, Brendan Gan, Quentin Cheng dan Mukhairi Ajmal Mahadi.

Musim ini, Shahrul Nazeem terus menjadi antara pilihan utama dalam benteng pertahanan skuad Gergasi Merah apabila dia merekodkan 22 penampilan dalam kesemua pertandingan.

393419846_1029697128103523_4670762695188547315_n

Tajikistan dinobatkan juara Pestabola Merdeka 2023 setelah menundukkan Harimau Malaya 2-0. Facebook/FAM

Walaupun beberapa kali dikritik atas kesilapan mudah, pemain berusia 23 tahun itu masih memberikan aksi terbaik demi mengawal gawangnya daripada dibolosi.

“Semalam (Isnin) merupakan hari pertama kami kembali ke kem Merah Kuning, saya nampak pasukan masih berada dalam keadaan yang baik.

"Kita masih bersaing secara sihat di sini. Kita perlu fokus dalam tiga perlawanan terakhir untuk mengekalkan kedudukan tempat kedua dalam Liga Super 2023,” katanya.

Selangor FC kini berada di tangga kedua Liga Super dengan lima mata membezakan mereka dengan pencabar terdekat, Kedah Darul Aman (KDA) FC yang memiliki kelebihan satu perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram