Sesuai dengan klu TMJ, kehadiran Faisal ke JDT mula direstui ramai


  • Podium
  • Selasa, 24 Okt 2023

Kemasukan Faisal ke JDT hanya akan meningkatkan lagi kemampuan jentera serangan juara Liga Super tersebut.

BEBERAPA perkara utama dikongsikan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris dalam satu sesi temu bual Nin Dia Bola tayangan Astro Arena pada Ahad.

Selain membincangkan mengenai infrastruktur, misi serta sasaran kelab di tahap lebih tinggi juga dibincangkan dalam rancangan yang berdurasi kira-kira sejam itu.

Namun, tumpuan peminat bola sepak sudah semestinya diberikan kepada hasrat TMJ yang mengatakan skuad Harimau Selatan bakal diperkuatkan dengan kehadiran pemain tempatan.

Meskipun mereka kini memiliki lambakan bintang tanah air cukup berkualiti, perancangan untuk masa akan datang sudah tentunya mendesak pihak pengurusan untuk tidak berasa terlalu selesa.

Ketika ini, hanya pemain tengah kelahiran Argentina, Jalil Elias disebut-sebut sebagai calon yang sedang diperhatikan JDT untuk memperkuatkan skuad bagi musim akan datang.

1460917

TMJ sememangnya tidak pernah berhenti dalam usahanya meningkatkan reputasi JDT.

Selain daripada itu, tiada ura-ura yang mengaitkan mana-mana nama akan dibawa masuk menyertai jaguh Liga Super tersebut, sekali gus membuka ruang perbincangan dalam kalangan peminat mereka.

Antara nama yang disebut-sebut bakal menyarung jersi skuad Harimau Selatan pada 2024 ialah bek kanan muda, Azam Azmi Murad dengan pemain berkenaan cukup cemerlang bersama Terengganu FC.

Tekaan itu dilihat cukup munasabah memandangkan JDT hanya memiliki dua pilihan di posisi berkenaan, iaitu Matt Davies dan Syahmi Safari dengan masing-masing mempunyai perbezaan daripada gaya permainan.

Namun, satu lagi nama juga disebut-sebut di media sosial dengan orang ramai turut berpendapat adanya kemungkinan skuad Harimau Selatan bakal diperkuatkan bintang Harimau Malaya, Faisal Halim.

Kehadiran pemain sayap berkenaan sudah semestinya dapat meningkatkan kualiti serangan JDT musim depan seperti mana dapat disaksikannya bersama Selangor FC.

2172176

Azam Azmi sudah beberapa kali dikaitkan dengan perpindahan ke JDT. Facebook/Terengganu FC

Dalam 20 penampilannya dalam Liga Super, pemain bertubuh kecil itu sudah menjaringkan 11 gol, yang meletakkannya sebagai penjaring terbanyak tempatan setakat ini.

Selain itu, Faisal juga merekodkan tujuh bantuan jaringan sepanjang diturunkan dengan sumbangan itu membantu skuad Gergasi Merah mengejar slot ke pentas Asia musim depan.

Kehadiran pemain yang juga sinonim dengan gelaran 'Mickey' tersebut juga turut dipersetujui penyokong JDT dalam usaha mereka memperkuatkan lagi pasukan.

"Pada pendapat peribadi saya, Faisal boleh pergi lebih jauh bersama JDT. Tengok sahaja persembahannya ketika beraksi di samping Arif Aiman (Hanapi) dalam skuad kebangsaan.

"Jika sebut kariernya secara profesional, saya sambut baik jika dia ditawarkan kontrak bersama JDT," ujar Benedict Jacob.

faisal119_1689237944

Faisal kini merupakan tonggak utama buat skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

"Jikalau TMJ pilih dia (Faisal), bagus. Patutnya kita bersyukur kerana prestasi dia akan terus meningkat dengan sistem latihan dan pengurusan JDT," kata Alias Pada.

"Faisal ni boleh nampak kesefahaman yang cukup baik bersama pemain JDT dalam Harimau Malaya, bagus dan dia pun dapat manfaatnya," kata Kamarulzaman Ahmad.

Faisal menyertai Selangor FC pada jendela perpindahan awal musim lalu selepas kontraknya bersama Terengganu FC tidak disambung.

Sepanjang bersama skuad kendalian Tan Cheng Hoe, pemain berusia 25 tahun itu mempamerkan aksi cukup bertenaga dalam melonjakkan lagi prestasi pasukan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram