Harimau Malaya mudah bocor, ini 3 nama 'midfield guardian' patut ada dalam skuad Pan-gon


  • Podium
  • Rabu, 25 Okt 2023

Satu demi satu kelemahan Harimau Malaya terbongkar ketika final Pestabola Merdeka menentang Tajikistan 17 Oktober lalu. — FAM

SELEPAS mengharungi tujuh perlawanan tanpa kalah berturut-turut sejak awal tahun ini, rekod cemerlang Harimau Malaya akhirnya tercalar apabila tewas 0-2 kepada Tajikistan dalam aksi final Pestabola Merdeka 17 Oktober lalu.

Dalam pertembungan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu, anak buah Kim Pan-gon dikecewakan hasil dua jaringan pihak lawan masing-masing pada minit 44 dan 87.

Jika dinilai secara umum, kekalahan yang direkodkan itu bukanlah satu keputusan agak teruk memandangkan Tajikistan merupakan pasukan yang berada di ranking lebih atas daripada Harimau Malaya di kedudukan 110.

Sepanjang perlawanan, skuad negara juga dilihat memberikan saingan yang sengit apabila lebih banyak memberikan ancaman percubaan ke arah pintu gol pihak lawan.

Namun, kelekaan barisan pertahanan negara menjadi duri dalam daging kepada kegagalan pasukan untuk menamatkan kemarau trofi yang kali terakhir menjulang kejuaraan di pentas antarabangsa pada 2010 menerusi Piala AFF.

Selain itu, antara aspek permainan yang menjadi bualan peminat bola sepak tanah air adalah mengenai pemilihan pemain di bahagian tengah pasukan.

Ini kerana dalam beberapa aksi perlawanan persahabatan yang merupakan sebahagian daripda rangka persediaan ke Piala Asia, Pan-gon dilihat tidak cenderung menggunakan pemain tengah bertahan sebenar yang dimiliki negara.

Malah, ada juga mengaitkan kebocoran gawang negara dengan ketiadaan pemain di posisi 'nombor 6' sebenar di dalam kesebelasan utama skuad.

Ini kerana ketiadaan pemain tengah bertahan itu dilihat menyebabkan pasukan negara gagal untuk memberikan perlindungan yang lebih baik kepada barisan pertahanan negara.

Di samping itu, ia juga boleh menjadi faktor barisan tengah negara sukar bersaing dengan lebih baik terutamanya ketika berhadapan dengan lawan lebih berkualiti.

Selain melancarkan transisi pergerakan bola daripada bahagian pertahanan ke hadapan, tanggungjawab lain dipikul oleh pemain tengah bertahan untuk memusnahkan gerakan yang cuba dibuat oleh pihak lawan.

Disebabkan itu, pemain di posisi ini seharusnya mempunyai naluri dan pembacaan permainan yang baik bagi menghidu rencana yang diaturkan pasukan lawan ke arah kubu pasukan.

Untuk rekod, antara pemain tengah bertahan pernah menjadi pilihan Pan-gon bagi membarisi Harimau Malaya dalam perlawan sebelum ini ialah pemain Johor Darul Takzim (JDT), Syamer Kutty Abba.

Namun, kegagalan pemain berusia 26 tahun itu untuk menyerlah bersama kelab Harimau Selatan pada musmi ini dilihat menjadi punca menyebabkan dia kurang menjadi pilihan untuk panggilan bagi skuad negara ketika ini.

Bagaimanapun, Syamer bukan merupakan satu-satunya pemain posisi no 6 yang dimiliki negara.

Berikut Majoriti senaraikan tiga pemain tengah bertahan boleh dipertimbang untuk digunakan dalam kesebelasan utama pasukan Harimau Malaya:

1. Afiq Fazail

2060733

Afiq Fazail (kanan) memiliki versatiliti untuk beraksi di beberapa posisi bahagian tengah. — Facebook/JDT

Bagi peminat JDT, nama Afiq Fazail merupakan satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

Berusia 28 tahun, anak jati Johor ini merupakan antara pemain tempatan yang sentiasa menjadi pilihan untuk membarisi kesebelasan utama pasukan sejak beberapa musim lalu.

Pemilihannya termasuk ketika pasukan beraksi semasa saingan tertinggi seperti di Liga Juara-Juara AFC.

Pencapaian untuk menembusi skuad utama JDT itu merupakan sesuatu yang perlu dibanggakan.

Seperti yang diketahui, JDT merupakan pasukan dibarisi oleh pemain import berkualiti termasuk di bahagian tengah.

Disebabkan itu, keupayaannya untuk meletakkan diri sebagai pilihan utama jurulatih membuktikan dia mampu bersaing termasuk di peringkat Asia.

Untuk rekod, kemunculan Afiq bersama pasukan JDT pada awalnya menyaksikan dia diberikan lebih peranan sebagai pemain tengah bertahan.

Antara ciri utama permainannya adalah keupayaan membuat hantaran tepat di samping melakukan bentesan keras bagi merencatkan serangan pihak lawan.

Selain itu, kemahirannya membuat hantaran kreatif menembusi garisan pertahana lawan juga menyebabkan barisan kejurulatihan pasukan mula memberikan kepercayaan untuknya beraksi di bahagian lebih hadapan.

Versatiliti dimiliki Afiq pastinya bakal menjadi aset penting kepada Pan-gon dalam membina barisan tengah lebih kukuh bagi menghadapi Piala Asia di Qatar pada tahun depan.

2. Hong Wan

2116152

Hong Wan musim ini menjadi pilihan utama beraksi di kawasan tengah JDT. Facebook/JDT

Selain Afiq, seorang lagi pemain JDT yang boleh mengisi keperluan posisi tengah bertahan pasukan Harimau Malaya ialah Hong Wan.

Memasuki musim keduanya bersama Harimau Selatan, Hong Wan dilihat tidak menoleh ke belakang apabila menempatkan diri sebagai pemain kesebelasan utama pasukan.

Sepanjang musim ini, bekas pemain junior kelab Liga Inggeris, Wolverhampton menjadi pilihan utama bagi menggalas tanggungjawab di posisi tengah bertahan.

Selain memiliki kemahiran melakukan hantaran berkualiti tinggi, larian bertenaga pemain berusia 23 tahun itu juga sering kali menjadi tulang belakang kepada dominasi JDT di bahagian tengah ketika perlawanan.

Hong Wan sebelum ini pernah dipanggil ke kem kebangsaan untuk aksi persahabatan yang pada tahun ini namun terpaksa dipinggirkan akibat masalah kecederaan dihadapi.

3. Azalinullah Alias

2345536

Azalinullah (kanan) merupakan aset penting bagi pasukan skuad Seladang. — Facebook/PerakFc

Berbanding Afiq dan Hong Wan, nama Azalinullah Alias dilihat agak kurang dikenali dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Bagaimanapun, anak jati kelahiran Terengganu ini merupakan antara watak penting yang mencetuskan kebangkitan Perak FC selepas menyertai pasukan pada perpindahan kedua musim ini.

Beraksi di samping kapten skuad The Bos Gaurus (TBG), Luciano Guaycochea, Azalinullah menjadi tenaga yang memberikan kestabilan buat pasukannya.

Berdasarkan persembahannya di atas padang, bekas pemain Harimau Muda C ini berperanan melancarkan hantaran di bahagian tengah di samping mematahkan gerakan pihak lawan.

Prestasi memberangsangkan yang dipamerkan Azalinullah seharusnya membuka mata Pan-gon untuk menjadikannya sebagai antara pilihan boleh dipertimbangkan bagi mengisi posisi pemain tengah bertahan skuad negara.

Karier perjalanan Azalinullah sebelum ini sedikit terbantut selepas dia berhadapan kecederaan ligamen krusiata anterior (ACL) sebanyak tiga kali ketika bersama Terengganu FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram