Bertemu JDT di Korea, Ulsan Hyundai mahu balas dendam di 'sangkar' sendiri


  • Podium
  • Isnin, 23 Okt 2023

Ulsan Hyundai kalah sebanyak dua kali ketika bertemu JDT di peringkat kumpulan saingan ACL musim lepas. — Agensi

PERJUANGAN Johor Darul Takzim (JDT) di kejohanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) diteruskan dengan Harimau Selatan akan turun menentang wakil Korea Selatan iaitu Ulsan Hyundai pada Selasa.

Pertemuan dua kelab ini pastinya menjadi tumpuan kerana selain tiga mata menjadi taruhan, terdapat elemen lain yang menyelubungi perlawanan ini.

Dari perspektif Harimau Selatan, mereka pastinya mahu mendapatkan tiga mata bagi terus menghidupkan cabaran untuk mara ke peringkat kalah mati.

Akan tetapi, Ulsan juga mahukan sesuatu daripada perlawanan ini. Selain daripada tiga mata, kelab Korea Selatan ini ingin membalas dendam atas luka lama yang diberikan JDT kepada mereka.

Sebelum ini, Ulsan terseksa kerana tumpas dua kali kepada JDT pada pertemuan ACL yang lalu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Kini, berpeluang turun menentang mereka di laman sendiri, wakil Korea Selatan itu ingin membelasah Harimau Selatan dengan sehebatnya.

울산문수축구경기장/ K리그1/ 울산현대축구단 vs 인천유나이티드/ 울산 홍명보 감독/ 사진 김정수

Pengendali Ulsan Hyundai, Hong Myung-bo mahu memastikan kemenangan buat mereka menentang JDT. — Ulsan Hyundai

Kini bakal menerima kunjungan skuad Esteban Solari di Munsu Football Stadium, Ulsan ingin memastikan tiga mata menjadi milik mereka sambil membalas dendam atas kekalahan lampau.

Misi yang dipikul Ulsan ini juga dilihat sebagai serampang dua mata. Hal ini kerana, mereka mahu terus menghidupkan peluang ke pusingan kalah mati.

Selepas menewaskan BG Pathum United pada perlawanan pertama, Ulsan tewas kepada wakil Jepun iaitu Kawasaki Frontale ketika aksi kedua.

Mereka kini mempunyai jumlah kutipan mata yang sama dengan JDT iaitu tiga mata. Jika berjaya menewaskan Harimau Selatan, ia akan memberikan lebih tekanan kepada JDT dalam usaha mereka layak ke pusingan kalah mati.

Kekalahan kepada Gwangju FC pada perlawanan K-League sebelum bertemu JDT pastinya akan dijadikan pelajaran berguna buat Ulsan supaya tidak leka apabila bertemu Bergson da Silva dan rakan-rakan.

Bergson yang mempunyai pengalaman beraksi dalam saingan domestik Korea Selatan pastinya akan menjadi sasaran pertahanan Ulsan selain daripada ancaman Fernando Forestieri yang sudah diketahui ramai.

Namun begitu, Ulsan juga perlu berhati-hati apabila berdepan Arif Aiman. Bintang muda Harimau Malaya ini boleh menghukum mereka dengan jaringan sekiranya tidak dikawal rapi.

Ulsan dan JDT akan bertemu pada Selasa (24 Oktober) pukul 6 petang waktu Malaysia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram