Zeon zoysia bukan kegagalan, perlu 6 bulan untuk digunakan — Pakar rumput


  • Podium
  • Isnin, 23 Okt 2023

Stadium Nasional Bukit Jalil tetap dipilih sebagai lokasi untuk perlawanan Malaysia lawan Krgyzstan. — Agensi

SETIAP jenis rumput memerlukan masa sekurang-kurangnya lebih tiga bulan untuk memastikan akarnya kuat sebelum boleh digunakan dalam apa juga aktiviti termasuklah membabitkan perlawanan bola sepak.

Dalam pada itu, isu rumput di gelanggang keramat Harimau Malaya mencuri tumpuan orang ramai selepas tercabut di beberapa bahagian ketika aksi Kejohanan Pestabola Merdeka 2023.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur itu menerima kritikan ramai mengenai isu rumput tersebut.

Pestabola

Rumput baharu SNBJ tercabut ketika Pestabola Merdeka. — Agensi

Hal ini kerana, padang yang bernilai jutaan ringgit itu kelihatan tercabut atau koyak seawal lima minit sepak mula perlawanan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kualiti rumput yang digunakan itu.

Sebelum ini, Majoriti mendapatkan pandangan mengenai perkara tersebut kepada penganalisis sukan iaitu Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim.

Dia bagaimanapun memberi pandangan bahawa pakar rumput merupakan individu yang sesuai untuk mengulas perkara berkenaan.

Rentetan itu, Majoriti mendapatkan individu yang boleh dianggap cukup pakar dalam kerja-kerja penjagaan rumput padang.

Mengulas perkara tersebut, pengasas kepada syarikat Turf Consultancy, Normas Yakin Md Arifin, menyifatkan rumput zeon zoysia tidak gagal tapi belum cukup matang.

"Pendapat saya, zeon zoysia bukan kegagalan namun rumput seperti itu memerlukan masa yang lama untuk matang.

"Rumput Zeon zoysia memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk benar-benar matang dan sesuai digunakan.

"Sekarang ni SNBJ belum matang, tapi apabila sudah matang nanti dia akan lebih baik daripada padang lain," katanya kepada Majoriti.

Selain itu, Normas turut berkongsikan perbandingan antara rumput jenis cowgrass dan Bermuda Princess 77 yang lebih cepat matang.

"Zeon zoysia tidak seperti cowgrass dan Bermuda kerana rumput ini hanya memerlukan tiga bulan untuk matang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram