Tiada kelibat Goulon di padang latihan, tapi skuad Jang terima kepulangan bintang


  • Podium
  • Ahad, 22 Okt 2023

Anak-anak buah K Devan sudah kembali berlatih selepas beberapa minggu berehat. — Facebook/Negeri Sembilan FC

SETELAH beberapa minggu berehat, Negeri Sembilan FC kini sudah melapor kembali untuk mempersiapkan diri bagi aksi Liga Super menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 28 Oktober nanti.

Mereka yang kini berada di tangga kesembilan sudah tentu sedang sibuk mencari penyelesaian untuk menambah baik gaya permainan untuk perlawanan di tempat lawan itu.

Kualiti yang dimiliki serta prestasi cemerlang skuad Sang Kenari juga pastinya akan diberikan perhatian dalam misi anak-anak buah K Devan membawa pulang kemenangan.

Bagaimanapun, berdasarkan kepingan foto yang dikongsikan di laman media sosial rasmi kelab, tonggak pertahanan mereka, Herold Goulon tidak kelihatan.

Dia yang sebelum ini menjadi pilihan utama sebagai bek tengah pasukan sudah semestinya diperlukan sekiranya skuad Jang mahu membawa pulang kejayaan.

2167432

Kehadiran Goulon amat diperlukan untuk mengukuhkan lagi benteng pertahanan skuad Jang. Facebook/Negeri Sembilan FC

Menurut statistik, pemain kelahiran Perancis terbabit diturunkan sebanyak 14 kali dalam Liga Super musim ini dengan struktur fizikal serta pengalamannya amat diperlukan.

Tetapi, isu kecederaan dan kecergasan yang beberapa kali menimpanya sedikit sebanyak menyekat peluangnya untuk turun dengan lebih kerap.

Namun, di sebalik kerisauan mengenai ketiadaan Goulon, penyokong skuad Jang masih mampu tersenyum apabila mereka mendapati kapten pasukan, Zaquan Adha Abd Radzak sudah kembali berada di padang latihan.

Dia yang mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) kelima dalam kariernya Mei lalu terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi bersama rakan sepasukannya musim ini.

Meskipun catatan jaringannya tidaklah begitu memberangsangkan, kelibat bekas penyerang kebangsaan berkenaan sudah tentu dinantikan untuk perlawanan menentang KDA FC tidak lama lagi.

394673515_757012466439472_4319243752206788088_n

Zaquan sudah kelihatan selepas beberapa bulan berehat akibat kecederaan. Facebook/Negeri Sembilan FC

Kecederaan serius yang dialaminya tersebut sebelum ini dikatakan hanya akan memaksanya untuk bersara memandangkan usianya sudah mencecah 36 tahun.

Bagaimanapun, kesungguhannya untuk menabur khidmat buat Negeri Sembilan FC dilihat masih tidak terpadam meskipun kelab itu berada dalam prestasi mengecewakan ketika ini.

Dalam saingan Liga Super, Zaquan sudah meraih lapan penampilan sebelum mengalami kecederaan dengan hanya satu gol dan dua bantuan jaringan dapat direkodkannya.

Namun, dengan status kecederaannya masih belum diketahui lanjut, kemungkinan untuknya turun beraksi menentang skuad Sang Kenari adalah tipis melihat kepada usianya.

Sekiranya skuad kendalian Devan mampu meraih kemenangan di Stadium Darul Aman, Kedah, ia sedikit sebanyak mampu memberi mereka keselesaan berbanding pasukan di tangga ke-10, Penang FC berdasarkan kutipan mata dalam liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram