Lagi kes serangan buaya di Sabah, lelaki maut diserang ketika cuci pakaian di tebing sungai


  • 112
  • Selasa, 24 Okt 2023

Sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian, di Ladang Maisang Sime Dardy Sukau, Kinabatangan pada Isnin. — Facebook/Sabah Revolusi

DALAM tempoh sembilan hari sahaja, terdapat tiga kes serangan buaya yang direkodkan berlaku di Sabah.

Terbaharu, seorang lelaki dilaporkan maut selepas diserang buaya ketika mencuci pakaian dan mandi di tebing Sungai Terusan Dumundung, Sukau, Sabah pada Isnin.

Lebih memilukan, penduduk kampung menemui mayat mangsa, Kamirun Malul, 42, masih berada dalam mulut buaya itu sebelum dilepaskan kira-kira 500 meter dari lokasi dia diserang sekitar pukul 3.30 petang.

Memetik laporan media tempatan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 62 kilometer dari BBP Kota Kinabatangan.

Menurutnya, rakan mangsa memaklumkan, ketika kejadian mangsa sedang mencuci pakaian dan mandi di tebing sungai tersebut sebelum diserang dan dibaham di bahagian kaki.

"Penduduk kampung mengekori buaya tersebut dan melihat mangsa masih berada di mulutnya.

"Buaya itu kemudian melepaskan badan mangsa dan penduduk kampung bertindak mengambil mayat mangsa.

"Mayat mangsa dibawa ke rumah keluarga sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

WhatsApp Image 2023-10-24 at 12.08.19 (1)

Manga dilaporkan selepas diserang buaya ketika mencuci pakaian dan mandi di tebing Sungai. — Facebook/Sabah Revolusi

Sebelum ini, dua kes serangan buaya turut dilaporkan di Lahad Datu dan Tawau iaitu pada 15 dan 19 Oktober lalu.

Kes serangan di Lahad Datu melibatkan seorang lelaki dikenali sebagai Salim Sakka, 50, yang dibaham reptilia itu ketika melakukan aktiviti memukat ikan di Sungai Silabukan.

Dalam satu lagi kejadian di Tawau, seorang lelaki menjadi mangsa serangan buaya di Sungai Burung Kampung Mas-Mas.

Mangsa dikenali sebagai Asdar dipercayai dibaham buaya ketika melakukan aktiviti memancing di tebing sungai berkenaan.

Setakat ini, kedua-dua mangsa terbabit masih belum ditemui. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram