SELEPAS Liga Super ditangguhkan untuk aksi peringkat antarabangsa, Sri Pahang FC bakal kembali beraksi menentang Terengganu FC di Stadium Darul Makmur, Pahang pada 29 Oktober ini.
Pertemuan berkenaan sudah tentu dinantikan penyokong kedua-dua pasukan yang mengharapkan tiga mata mampu diraih bagi memperbaiki kedudukan dalam carta.
Sri Pahang FC yang berada di tangga keempat berpeluang untuk merapatkan jurang dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang dibezakan empat mata ketika ini.
Bagi skuad Sang Penyu pula, harapan mereka untuk mengulangi pencapaian musim lalu seperti sukar untuk dicapai dengan mereka kini hanya menduduki tangga keenam selepas mengumpul 35 mata.
Jadi, tumpuan sudah semestinya diajukan kepada pasukan kendalian Fandi Ahmad yang masih berpeluang menamatkan saingan Liga Super dalam kelompok tiga pasukan teratas.
Kedua-dua pasukan menyajikan aksi cukup baik kali terakhir mereka bertemu April lalu. — Facebook/Sri Pahang FC
Namun, jadual tidak menentu sudah semestinya memberi impak terhadap gaya permainan mereka dengan pemain sudah tentu bergelut untuk mendapatkan semula kesefahaman antara satu sama lain.
Perkara itu seperti juga difahami ketua jurulatih, Fandi Ahmad yang berharap isu berkenaan tidak akan memberi tamparan terhadap anak-anak buahnya.
"Sudah tentu satu kebimbangan (momentum akan terjejas). Sebagai contoh, kita pada prestasi baik pada Ogos, kemudian rehat tiga minggu, bila sambung balik kita hilang momentum dan tersingkir daripada Piala Malaysia.
"Sekarang kita menang ke atas Kuching City FC, tapi kena rehat sebulan dan kita perlu pastikan situasi sama tidak berulang," katanya menerusi satu hantaran di laman media sosial rasmi kelab.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah dalam saingan Liga Super pada 28 April lalu yang menyaksikan skuad Tok Gajah meraih kemenangan 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.
Ketika ini, kelebihan seperti berpihak kepada Terengganu FC yang masih berentap dalam saingan Piala Malaysia dengan mereka bakal berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC.
Di samping mampu membina kesefahaman antara satu sama lain, perlawanan lebih kerap akan membantu pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner memilih kesebelasan utama terbaik.
Selepas bertemu skuad Sang Penyu, skuad Tok Gajah bakal menerima kunjungan PDRM FC pada 8 November dengan ia merupakan peluang terbaik untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam carta Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram