Sumareh, Syafiq Ahmad perlu fikir masa depan jika mahu tambat hati KPG


  • Podium
  • Khamis, 19 Okt 2023

Sumareh meledak tujuh gol bersama skuad kebangsaan sejak 2018. — Facebook

SELURUH negara masih belum berhenti bercakap mengenai kekalahan Harimau Malaya di tangan Tajikistan apabila skuad kebangsaan terlepas untuk merangkul trofi Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.

Ia merupakan kekalahan pertama Kim Pan-gon tahun ini jika tidak mengambil kira kejohanan Piala AFF yang mana Harimau Malaya tewas kepada Thailand pada Januari lalu.

Jika mengikuti perkembangan semasa skuad kebangsaan, Kim Pan-gon sudah bereksperimen dengan banyak pemain demi mendapatkan kesebelasan utama terbaik yang ada ketika ini.

Dalam proses percubaan itu ada pemain-pemain dilihat sudah pun digugurkan oleh Pan-gon apabila mereka mengalami masalah kecederaan dan kurangnya minit permainan.

Kini Majoriti senaraikan tiga bintang Harimau Malaya yang tidak lagi menjadi taruhan Pan-gon walaupun pernah bersama dalam beberapa kejohanan penting:

Sumareh

Sumareh musim ini hanya merekod 73 minit permainan bersama JDT. Facebook/FAM

1. Mohamadou Sumareh

Pemain naturalisasi pertama kebangsaan, Mohamadou Sumareh dilihat sudah tidak mempunyai sinar untuk menyarung jersi kebangsaan apabila Arif Aiman, Faisal Halim dan Safawi Rasid sering menjadi pilihan utama Pan-gon ketika ini untuk posisi sayap.

Hanya tampil dalam tiga perlawanan serta merekodkan 73 minit permainan musim ini ia dilihat menyukarkan Sumareh untuk terpilih beraksi bersama Harimau Malaya.

Sebelum ini, Sumareh sering menjadi harapan Tan Cheng Hoe untuk menggerakkan barisan serangan menerusi larian pantas dan kekuatan fizikal yang dimilikinya itu.

Tampil dalam 28 perlawanan bersama Harimau Malaya, pemain berusia 29 tahun itu sudah meledak tujuh gol bersama skuad kebangsaan sejak 2018.

Kali terakhir Sumareh beraksi di bawah skuad kendalian Pan-gon ialah dalam kejohanan Piala Raja Thailand.

Syafiq Ahmad

Syafiq perlu melakukan sesuatu untuk menambat hati Pan-gon semula. Facebook/PFAM

2. Muhammad Syafiq Ahmad

Antara penyerang berbisa dimiliki oleh Harimau Malaya menerusi larian pantas dan tandukannya, Muhammad Syafiq Ahmad perlu melakukan sesuatu bagi menambat hati Pan-gon untuk membawanya ke Qatar tahun depan.

Kebangkitan Darren Lok bersama Petaling Jaya City FC musim lalu membuka mata Pan-gon untuk lebih memilihnya sebagai penjaring utama pasukan.

Disebabkan itu Syafiq mula diletakkan sebagai pilihan nombor dua di belakang Darren Lok.

Kehadiran pemain naturalisasi, Paulo Josue, Lee Andrew Tuck dan Sergio Aguero juga sebelum ini menutup peluang pemain berusia 29 tahun itu untuk mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan.

Mungkin Syafiq akan dilupakan buat seketika jika pemain baharu naturalisasi kebangsaan, Romel Morales Ramírez menyerlah bersama skuad kebangsaan.

Kali terakhir Syafiq bersama Harimau Malaya pada Mac lalu ketika menentang Turkmenistan dan Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Khuzaimi Piee

Khuzaimi disamakan dengan bintang Liverpool, Virgil van Dijk. Facebook/FAM

3. Ahmad Khuzaimi Piee

Pemain ke-12 Harimau Malaya pastinya merindui kelibat Ahmad Khuzaimi Piee atau lebih mesra dipanggil Jimmy.

Dia merupakan antara tonggak utama Pan-gon semasa kejohanan Piala Raja Thailand tahun lalu tetapi Khuzaimi kini tersisih daripada skuad kebangsaan selepas baru pulih daripada kecederaan ketika beraksi di Piala AFF 2022.

Pemain pertahanan berkaki kiri itu berjaya mencuri perhatian penyokong Harimau Malaya apabila dia dilihat lebih tenang menghadapi dan mematahkan serangan pihak lawan.

Selain itu, ada juga penyokong yang menyamakannya dengan bintang Liverpool, Virgil van Dijk mungkin disebabkan corak permainannya ketika beraksi di atas padang.

Bersama Selangor FC, pemain berusia 29 tahun itu hanya tampil dalam 14 perlawanan musim ini selepas baru pulih daripada kecederaan.

Kali terakhir bersama skuad kebangsaan ketika menentang Hong Kong pada Mac lalu yang mana dia berada di bangku simpanan pemain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram