KEKALAHAN 0-2 dialami Harimau Malaya dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 kepada Tajikistan memberi satu tamparan hebat buat peminat bola sepak negara.
Meskipun menguasai permainan, skuad kendalian Kim Pan-gon kelihatan buntu sepanjang 90 minit permainan untuk mencari jaringan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.
Malah, kealpaan benteng pertahanan turut dihukum dalam pertembungan berkenaan apabila pihak lawan meraih kemenangan hasil jaringan Soirov Rustam dan Shahrom Samiev.
Kekalahan itu menyaksikan pasukan negara gagal menjulang trofi Pestabola Merdeka untuk kali ke-13 di samping tidak berjaya untuk mempertahankannya.
Bagi Tajikistan pula, mereka yang kali pertama menyertai kejohanan tersebut sudah tentu tidak dapat melupakan saat indah diraih ketika membawa pulang piala terbabit.
Namun, menurut ketua jurulatih skuad The Crowns, Petar Segrt, mereka sudah meletakkan sasaran lebih tinggi apabila pasukan Asia Barat itu bakal beraksi dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 tidak lama lagi.
Tajikistan meraih kejayaan dalam penyertaan sulung mereka dalam Pestabola Merdeka. — Facebook/Tajikistan Football Federation
"Pada pandangan saya, pemain perlu diberikan sesuatu atas sumbangan cukup baik di sini tetapi kami akan berdepan cabaran pada minggu akan datang menentang Jordan.
"Tetapi, maaf untuk saya katakan, perlawanan hari ini (Selasa) hanya perlawanan persiapan untuk Piala Asia kerana pertandingan itu adalah lebih penting bagi kami," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Kekalahan kepada Tajikistan merupakan kali kedua skuad kendalian Kim Pan-gon kecewa selepas bertemu pasukan terbabit setelah kali terakhir bertembung adalah ketika perlawanan akhir Piala Raja-raja Thai 2022.
Selepas terikat tanpa jaringan, penentuan sepakan penalti menyaksikan skuad kebangsaan tewas kepada negara Asia Barat itu, sekali gus memaksa mereka pulang dengan tangan kosong.
Berdasarkan undian sebelum ini, Tajikistan berada dalam Kumpulan G Kempen Kelayakan di samping Jordan, Pakistan dan China sementara Malaysia berada dalam Kumpulan D bersama Oman, Krygyzstan serta Taipei.
Selepas itu, kedua-dua pasukan bakal berentap dalam saingan Piala Asia 2023 dengan Tajikistan bakal memulakan aksi berdepan China pada 13 Januari.
Bagi Harimau Malaya pula, mereka akan beraksi di Qatar tiga hari kemudiannya dengan pertemuan menentang Jordan akan membuka tirai kejohanan bagi negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram