AKSI ketiga Liga Juara-Juara AFC (ACL) antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan Ulsan Hyundai pada Selasa pastinya menjadi tumpuan penyokong tanah air.
Pasukan Harimau Selatan yang meraih empat kemenangan dalam perlawanan akhir mereka tentunya satu persediaan positif untuk berdepan Ulsan.
Prestasi Ulsan Hyundai tidak begitu baik dalam tiga perlawanan akhir Liga Korea apabila mencatat dua keputusan seri dan satu kekalahan.
Bukan itu sahaja, malah dalam perlawanan kedua ACL pada 3 Oktober, Ulsan juga tewas di tangan kelab Jepun, Kawasaki Frontale.
Tentunya, kemerosotan prestasi pasukan Korea itu adalah berita baik buat JDT dalam membuat persiapan untuk aksi ketiga ACL Kumpulan I di Stadium Bola Sepak Ulsan Munsu, Korea pada Selasa.
Jurulatih JDT, Esteban Solari berkata, dia mahu anak buahnya memanfaatkan sepenuhnya keresahan Korea.
“Kami tahu Ulsan tidak berada dalam momen yang baik dari segi psikologi. Ia peluang yang baik untuk mendapatkan keputusan yang baik.
“Bagaimanapun, kami masih menghormati mereka kerana mereka mempunyai pemain yang berkualiti. Namun, kami sudah bersedia untuk menentang mereka," katanya.
Melihat kepada rekod tahun lepas, Harimau Selatan pernah menewaskan Ulsan sebanyak dua kali dalam ACL dan tentunya pasukan kendalian Solari itu mempunyai keyakinan untuk mengulangi kembali momen tersebut.
Solari bagaimanapun berkata, keadaannya berbeza ketika itu dan rekod itu tidak boleh dijadikan ukuran kerana skuad kendalian Hong Myung-bo kali ini berbeza dan dibarisi ramai muka baharu.
“Tahun lalu, kami bermain dua perlawanan dalam situasi berbeza dan kedua-duanya diadakan di Malaysia. Ulsan mempunyai senarai yang berbeza sekarang dan pastinya mereka akan tampil dengan corak permainan berbeza.
"Apapun, kami bersedia untuk berdepan Ulsan dengan membuat persiapan yang serius secara psikologi dan fizikal dan pemain juga tampak tidak berdepan masalah untuk beraksi selain kekuatan mental amat penting bagi perlawanan tersebut.
"Antara cabaran perlu digalas bagi membimbing JDT apabila pemilik pasukan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bukan sahaja mahu JDT hebat di saingan liga tempatan, malah turut menyerlah di peringkat antarabangsa.
"ACL adalah medan terbaik untuk pamer kualiti dan kami optimis akan turun menentang Ulsan dengan aksi terbaik dan membawa pulang keputusan positif," kata Solari. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram