TERENGGANU FC memastikan bekalan cukup selesa diperoleh mereka untuk separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023 setelah menumpaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 2-1 di tempat lawan pada Sabtu.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu menyaksikan jaringan Ivan Mamut dan Nik Sharif Haseefy memastikan kemenangan berharga untuk skuad Sang Penyu.
KL City bagaimanapun berjaya mengurangkan defisit jaringan pada minit-minit akhir apabila Tchetche Kipre berjaya menyempurnakan sepakan penalti menewaskan Suhaimi Husin.
Tonggak KL City, Zhafri Yahya mahu fokus dapatkan jaringan dalam aksi timbal balik nanti. — Facebook/MFL
Menerusi satu hantaran video di Twitter, tonggak The City Boys, Zhafri Yahya, berkongsikan bahawa ketika ini pasukannya hanya mahu fokus mendapatkan jaringan bagi membantu KL City mendapatkan keputusan yang baik dalam perlawanan timbal balik nanti.
Malah, Zhafri menyifatkan perbezaan jaringan bukan masalah buat Warga Kota kerana masih berpeluang untuk memburu slot final buat kali kedua musim ini.
"Mungkin keputusan tidak menyebelahi kita tapi dengan gameplay kita banyak improvement.
"Perbezaan gol yang tidak terlalu jauh adalah sangat penting.
"At least jarak gol kita tidak terlalu jauh, apa-apa boleh berlaku nanti dalam aksi timbal balik.
"Kalau kita dapat satu gol pun, kira stabil tapi kalau boleh kita nak dapatkan jaringan lebih," katanya.
Selain itu, bekas pemain Sang Penyu itu turut memuji persembahan yang ditampilkan oleh pemain yang menggantikan posisi Paulo Josue dan Romel Morales.
"Memang kita tiada player yang sepatutnya tapi player yang menggantikan tempat mereka itu memainkan peranan yang sangat penting.
"Bagi saya mereka bermain dengan baik," ujarnya.
Dalam pada itu, KL City berharap dapat mencuri kemenangan untuk aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada 3 November depan . — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram