KEMENANGAN 2-1 dicatatkan Terengganu FC ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2023 sudah tentu memberi suntikan semangat buat mereka.
Kejayaan itu semestinya memberi gambaran buat skuad Sang Penyu yang dilihat sudah cukup bersedia untuk mengharungi aksi ketiga Kumpulan G saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023.
Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner dijadual bakal berdepan wakil kelab dari Filipina iaitu Stallion Laguna FC pada 26 Oktober ini.
Meskipun berpuas hati dengan kemenangan yang diraih di laman lawan dalam aksi Piala Malaysia, Steinbruckner bagaimanapun berasa bimbang dengan perlawanan seterusnya.
Hal ini kerana, terdapat beberapa perkara yang pasti merencatkan corak permainan pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu termasuk jadual perlawanan yang dijangka berlangsung pada 4 petang.
Jaringan pembukaan Ivan Mamut membantu skuad Sang Penyu membawa bekalan selesa aksi kedua Piala Malaysia nanti. — Facebook/MFL
Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga perkara yang tentunya membimbangkan pengendali kelahiran Croatia itu.
1. Kekangan Masa
Seperti sedia maklum, jadual yang padat tentunya akan merencatkan corak permainan sesebuah pasukan.
Terengganu bagaimanapun tidak terkecuali dengan isu tersebut berikutan tidak sampai seminggu selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia berlangsung, skuad itu dijadual bakal beraksi di pentas Asia.
Malah, selepas berdepan Stallions Laguna, selang tiga hari kemudian Sang Penyu akan berdepan Sri Pahang FC untuk melengkapkan aksi Liga Super.
"Kami akan bertemu Stallion Laguna FC dan Sri Pahang FC selepas itu. Kami ada meminta Sri Pahang untuk menangguhkan perlawanan itu tetapi mereka tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan," kata Tomi dalam sidang media usai perlawanan menentang KL City.
Dalam pada itu, sudah semestinya menjadi satu kebimbangan buat pasukan TFC yang dijangka tidak mempunyai waktu rehat yang mencukupi.
Tentunya, TFC akan mengalami sedikit kesukaran untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam aksi Piala AFC nanti.
2. Ketiadaan Safwan Mazlan
Pemain pertahanan Sang Penyu, Muhammad Safwan Mazlan terpaksa diketepikan oleh Steinbruckner selepas menerima dua kad kuning.
Ketiadaan Safwan itu pastinya sedikit dirasai pasukan selepas dia beraksi cemerlang di posisi kegemarannya itu dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
Hal ini kerana, gandingan pemain kelahiran Batu Rakit, Kuala Nerus itu bersama Muhammad Shahrul Nizam Ros Hasni di posisi bek tengah mendapat pujian daripada pengendali pasukan itu.
Selain itu, dua tonggak skuad Peteh itu juga berjaya menyekat kelab Australia, Central Coast Mariners dan Bali United pada aksi Piala AFC.
3. Pemilihan kesebelasan utama
Bukan sahaja bakal kehilangan khidmat Safwan malah Sang Penyu juga dilihat akan mengalami masalah pemilihan kesebelasan utama.
Difahamkan, skuad Peteh tidak mempunyai ramai pemain yang memiliki minit permainan untuk diturunkan dalam perlawanan penting tersebut.
Dalam pada itu, Steinbruckner dijangka akan mengambil risiko dengan menggunakan penggiliran pemain untuk memastikan setiap dari kesebelasan utama memperoleh rehat dan berada di tahap terbaik.
Bukan sahaja bagi perlawanan berdepan Stallion Laguna FC malah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram