TEMASYA Sukan Para Asia Hangzhou 2022 dibuka secara rasmi menerusi upacara pembukaan yang gilang gemilang berlangsung di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou pada Ahad.
Upacara pembukaan itu dirasmikan oleh Naib Premier China, Ding Xue Xiang dihadapan 70,000 penonton yang hadir ke stadium.
Kontinjen Malaysia terdiri daripada 26 atlet dan 22 pegawai memasuki stadium selaku Kontinjen ke-21, diketuai Chef-de-Mission, K M Rajendran.
Atlet badminton para, Muhammad Ikhwan Ramli dan atlet lompat jauh para, Nani Shahiera Zawawi diberi tugas untuk menggalas bersama membawa Jalur Gemilang.
Kontinjen negara mempertaruhkan seramai 113 atlet yang akan bersaing dalam 104 acara daripada 14 jenis sukan untuk edisi kali ini.
Antara atlet para Palestin yang menghadirkan diri dalam sukan Para Asia. — Twitter
Bagaimanapun, kehadiran atlet dari Palestin berjaya mencuri tumpuan ramai selepas muncul dalam upacara pembukaan tersebut.
Menerusi satu perkongsian di Twitter, kelihatan beberapa atlet Palestin dilihat berarak masuk dalam acara tersebut dengan membawa bendera negara mereka.
Difahamkan, atlet para Palestin yang bertanding dalam sukan Para Asia telah berlatih di Kaherah, Mesir dan mereka tidak terjejas dengan konflik Palestin-Israel tersebut.
Sebelum ini, pasukan bola sepak Palestin terpaksa menarik diri daripada saingan Pestabola Merdeka 2023 susulan konflik yang berlaku antara Palestin dan Israel. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram