JOHOR Darul Takzim (JDT) akan sekali lagi bertemu dengan wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai pada perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada Selasa.
Setelah memenangi dua pertemuan awal di peringkat kumpulan pada musim lalu, JDT dilihat mahu melebarkan rekod mereka terhadap wakil Korea Selatan ini.
Namun begitu, Ulsan yang ibarat harimau terluka kerana kalah dua aksi sebelum ini serta tumbang pada perlawanan menjelang aksi menentang JDT pada Selasa pastinya inginkan kemenangan lebih-lebih lagi di laman sendiri.
Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan merungkai tiga pemain yang perlu JDT waspada apabila bertemu dengan Ulsan di Korea Selatan.
1. Martin Adam
Ini merupakan pemain paling ketara yang perlu JDT kawal apabila bertemu Ulsan. Penyerang import Ulsan dari Hungary ini merupakan pemain paling tajam di depan gol.
Martin Adam mencatatkan hatrik pada perlawanan menentang BG Pathum United. — Facebook/Ulsan Hyundai
Adam mencuri tumpuan pada perlawanan pertama ACL menentang BG Pathum United apabila melakar hatrik. Malah, dia adalah satu-satunya penjaring gol Ulsan dalam saingan ACL setakat ini kerana ketika bertemu Kawasaki Frontale, mereka tidak menjaringkan sebarang gol.
Selain itu, Adam juga merupakan pemain yang baik dari segi bantuan jaringan. Dalam saingan K-League, bintang Hungary ini telah merakamkan lima bantuan jaringan dan itu adalah yang terbanyak dicatatkan oleh mana-mana pemain Ulsan.
2. Ju Min-kyu
Di saat Adam mencuri tumpuan di peringkat Asia, ayam tambatan Ulsan yang sebenar adalah pemain veteran mereka sendiri iaitu Ju Min-kyu.
Min-kyu yang berusia 33 tahun merupakan penyerang yang cukup tajam untuk Ulsan pada musim ini. Dia masih belum menjaringkan gol di peringkat Asia.
Min-kyu merupakan penjaring terbanyak K-League dengan 15 gol. — Agensi
Namun begitu, Min-kyu begitu klinikal untuk Ulsan dalam saingan domestik. Dia kini sudah menghasilkan 15 gol dan merupakan penjaring terbanyak liga setakat ini.
Dengan mempunyai kekuatan menggunakan kedua-dua belah kaki dengan cukup baik, sudah pasti pertahanan JDT perlu berhati-hati apabila mengekang pergerakan pemain ini.
3. Lee Myeong-jae
Pemain pertahanan berusia 29 tahun ini merupakan salah satu ancaman untuk JDT dari bahagian bawah.
Myeong-jae merupakan pemain pertahanan kiri yang aktif membantu bahagian serangan Ulsan. Ancaman yang diberikan olehnya boleh menjadi senjata tambahan buat Ulsan untuk cuba memboloskan pintu gol JDT.
Myeong-jae pernah terlibat dalam kontroversi berlaku rasis terhadap pemain Asia Tenggara. — Agensi
Myeong-jae mencatatkan lima bantuan gol untuk Ulsan dalam saingan K-League musim ini dan itu adalah catatan terbaik bagi mana-mana pemain Ulsan musim ini.
Oleh itu, pertarungan antara Myeong-jae dengan Arif Aiman di bahagian tepi padang pastinya menarik. Jika Myeong-jae berjaya dineutralkan, maka JDT akan hilang satu masalah sepanjang perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram