Terbuka Denmark: Cerita berbeza Aaron-Wooi Yik, Zii Jia


  • Podium
  • Isnin, 23 Okt 2023

Gandingan Aaron-Wooi Yik berjaya meraih gelaran jelajah dunia pertama mereka di Denmark. — BWF

CERITA berbeza yang dirakamkan oleh pemain badminton negara ketika di kejohanan Terbuka Denmark. Malaysia menghasilkan nota cemerlang apabila dua wakil berjaya layak ke perlawanan akhir.

Pasangan beregu, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta perseorangan lelaki Lee Zii Jia berjaya mara ke perlawanan akhir kategori masing-masing untuk meneruskan rentak baik Malaysia dalam siri Jelajah Dunia BWF untuk benua Eropah.

Nota berbeza dicatatkan oleh dua wakil negara dengan khabar gembira hadir menerusi pasangan Chia-Wooi Yik apabila mereka berjaya mendapatkan gelaran jelajah dunia pertama dalam karier.

Pasangan beregu kebangsaan itu menewaskan wakil daripada Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dengan keputusan straight set 21-13, 21-17 dalam masa 33 minit.

Kemenangan yang diraih di Jyske Bank Arena, Odense itu menyaksikan pasangan negara berada di kelas tersendiri apabila berjaya mengawal permainan dengan tenang berbanding lawan mereka yang kelihatan gementar.

Saingan di set pertama mudah untuk Aaron-Wooi Yik. Memasuki set kedua, pasangan Indonesia itu cuba untuk kembali mencabar dengan harapan perlawanan boleh dibawa ke set penentuan.

Namun begitu, dominasi pasangan Malaysia terlalu ketara hinggakan lawan mereka tidak mampu untuk mengekang kemenangan straight set Aaron-Wooi Yik.

Cerita berbeza pula dirakamkan oleh wakil perseorangan negara yang menyaksikan Zii Jia terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara.

cr_20231021_1920_DenmarkOpen2023_BPYN0326-1024x576

Tiada rezeki untuk Zii Jia meraih gelaran di Denmark. — BWF

Zii Jia yang turun menentang wakil China Weng Hong di arena yang sama ingin melebarkan penguasaannya di Eropah selepas berhasil meraih gelaran Artic Open di Finland pada bulan lalu.

Malangnya, nasib tidak menyebelahi perseorangan utama negara itu apabila dia tunduk mudah kepada Hong dalam kekalahan straight set 12-21, 6-21. Sama seperti kemenangan Aaron-Wooi Yik, Zii Jia tumbang dalam tempoh masa yang sama iaitu 33 minit.

Kekalahan yang diterima Zii Jia ini terus melebarkan rekod yang tidak dimahukan pemain tersebut apabila kecundang untuk kali ketiga kepada wakil China tersebut. Untuk rekod, Zii Jia hanya menang sekali dalam empat pertemuan bertemu Hong.

Selepas Terbuka Denmark, tumpuan akan terarah kepada Terbuka Perancis yang bermula pada 24 Oktober. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram