DALAM menuju kejayaan, pastinya akan ada cabaran yang perlu dihadapi untuk mendapatkannya.
Tidak mudah bagi sesebuah pasukan bola sepak untuk bergelar juara. Mereka perlu bekerja keras, berikan usaha sebaiknya dan kental menghadapi segala cabaran.
Itulah tugas sukar yang menanti pasukan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) sekitar lapan tahun lalu ketika hendak memburu kejayaan di Asia.
Selepas ibarat menerima 'nyawa' kedua di separuh akhir akibat penyertaan pihak lawan terbatal, JDT berjaya layak ke perlawanan akhir Piala AFC dan berpeluang menjadi pasukan pertama dari Malaysia memenanginya.
Menentang wakil Tajikistan iaitu Istikol, JDT berdepan cabaran bukan sahaja di padang malah sebelum sepak mula.
Kesebelasan utama JDT di perlawanan akhir Piala AFC 2015. — AFC
Hal ini kerana, JDT perlu menempuh perjalanan hampir 72 jam dari Johor Bahru, Johor untuk tiba di Dushanbe, Tajikistan.
Skuad Harimau Selatan berlepas dari Johor Bahru ke Singapura, sebelum melalui proses transit selama 10 jam untuk ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Selepas itu, barulah mereka akhirnya berjaya mendarat ke Dushanbe untuk menyertai perlawanan akhir itu.
Pengurus JDT ketika itu, Ismail Ibrahim mengatakan situasi tersebut merupakan sebahagian daripada tekanan yang dilalui pemain Harimau Selatan untuk menjulang kejuaraan.
"Pemain bukan sahaja berdepan tekanan bermain di perlawanan akhir tetapi berdepan perjalanan yang panjang," kata Ismail.
Ismail merupakan pengurus JDT ketika mereka memenangi Piala AFC. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Perjalanan panjang yang dilalui oleh JDT itu nyata membuahkan hasil apabila mereka berjaya meraih gelaran juara menerusi kemenangan 1-0 hasil jaringan Leandro Velazquez.
Lebih manis, Safiq Rahim diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan sekali gus melengkapkan malam sempurna JDT diangkat sebagai pasukan Malaysia pertama memenangi kejuaraan Asia.
Kini lapan tahun selepas peristiwa itu, JDT masih lagi teguh sebagai gergasi bola sepak moden Malaysia. Mereka masih utuh menguasai bola sepak tempatan dan tidak menunjukkan isyarat akan berhenti.
Saingan Piala AFC sudah ditinggalkan dengan Harimau Selatan mula mencabar jaguh-jaguh Asia yang lain dalam saingan Liga Juara-Juara AFC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram