SEPANJANG musim Liga Super 2023, pasukan Pantai Timur iaitu Kelantan FC tidak lekang daripada pelbagai isu dan kontroversi.
Daripada isu prestasi di dalam padang kepada masalah tunggakan gaji yang tiada henti, pasukan yang pernah menguasai bola sepak Malaysia pada awal era 2010-an ini jelas berdepan lalu amat berliku pada tahun ini.
Baru-baru ini, muncul pula dakwaan yang mengatakan para pemain The Red Warriors mengalami kesukaran dalam melakukan tugasan mereka untuk berlatih sebagai persiapan menghadapi hari perlawanan.
Di media sosial, terdapat dakwaan yang mengatakan para pemain Kelantan sudah lama tidak berlatih. Hal ini disebabkan mereka dinafikan akses untuk memasuki padang latihan.
Para pemain The Red Warriors dikhabarkan tidak dibenarkan untuk berlatih selepas laluan masuk ke padang latihan telah pun ditutup. Tindakan itu dipercayai dilakukan oleh pemilik premis iaitu Jabatan Pertanian Negeri Kelantan.
Menerusi gambar yang disiarkan, terdapat penghadang berbentuk kayu telah menghalang laluan masuk ke Padang Latihan Lundang yang terletak di Kota Bharu itu.
Situasi itu dikatakan telah berlaku sebanyak dua kali hinggakan telah menganggu persiapan para pemain Kelantan untuk menghadapi pelbagai perlawanan seperti dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.
Dakwaan yang muncul di media sosial ini telah menimbulkan pertanyaan, adakah ini punca mengapa laman rasmi Kelantan di Facebook sudah lama tidak memuat naik gambar para pemain mereka berlatih?
"Dalam tempoh lima bulan (sudah) dua kali pihak Jabatan Pertanian Negeri Kelantan menghalang laluan ke padang latihan. Patutlah sudah lama tidak ada gambar latihan pemain di Padang Pertanian Lundang dalam laman rasmi Kelantan FC," kata penyokong bernama Po'Nique Sallehuddin.
Hasil pemerhatian Majoriti seolah mengiyakan teori tersebut. Kali terakhir laman Facebook rasmi Kelantan memuat naik gambar sesi latihan di padang tersebut adalah pada 12 Jun. Ketika itu, mereka sedang melakukan persiapan bagi perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang FC.
Gambar latihan terakhir secara keseluruhan ada ketika mereka bertemu Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Ketika itu, mereka tewas 0-10 kepada juara Liga Super tersebut.
Dakwaan yang terhasil ini boleh menimbulkan persoalan kepada prestasi Kelantan yang selepas itu terus merudum apabila sering dibelasah lawan seperti kalah 0-8 kepada Terengganu FC selain dimalukan 2-11 oleh Selangor FC.
Sudah pasti, pemilik Kelantan, Norizam Tukiman atau Zamsaham akan menjadi tumpuan dan perlu tampil memberikan penjelasan kepada penyokong mengenai apa yang terjadi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram