EDISI kelapan RHB Lekas Highway Ride 2023 yang berakhir pada Sabtu terus menjadi tarikan utama penggemar sukan berbasikal apabila ia kekal menjadi acara kayuhan terbesar di Malaysia pada sebelah malam.
Ia dapat dilihat melalui sambutan luar biasa daripada lebih 6,000 peserta yang mengambil bahagian dalam keseluruhan 14 kategori dipertandingkan.
Acara kayuhan yang bermula di Plaza Tol Kajang Selatan dan berakhir di Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) E21 itu sekali gus mengatasi jumlah 5,600 penyertaan bagi edisi tahun lalu.
Sebahagian aksi para peserta yang memulakan acara kayuhan RHB Lekas Highway Ride 2023 di Plaza Tol Kajang Selatan. — Ihsan GOSPORTZ SDN. BHD.
Menariknya, ia turut berjaya menarik penyertaan lebih 30 negara termasuk Jerman, Jepun, Perancis, Korea Selatan, Australia, Amerika Syarikat (AS), Singapura dan Brunei.
Penyertaan menggalakkan itu memberikan gambaran jelas lebih ramai peserta akan mengambil bahagian dan tidak mustahil mampu melebihi angka 7,000 pada edisi kesembilan tahun depan.
Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Mohd. Rashid Mohamad berkata, penganjuran kali ini membuktikan perpaduan semangat antara penunggang basikal, bukan sekadar jumlah peserta paling ramai.
"Edisi tahun ini juga memperkenalkan kategori baharu untuk penunggang basikal wanita bagi kategori veteran, sekali gus mengingatkan kita bahawa semangat tidak mempunyai batas," katanya.
Keunikan saingan kali ini turut melibatkan penyertaan penuh inspirasi 20 Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dalam kategori 22 kilometer (km).
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Lee Chun Fai berkata, pihaknya amat berbangga kerana kembali menjadi penaja lokasi bagi acara kayuhan berbasikal lebuh raya nombor satu pada sebelah malam itu.
"Apa yang lebih bermakna adalah penganjuran kali ini turut membabitkan penyertaan 20 peserta OKU menghayati semangat perpaduan dan menguji had mereka berlumba di sepanjang lebuh raya.
"Saya juga ingin merakam penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana memastikan penganjuran ini berjalan lancar. Tahniah kepada semua peserta kerana berkongsi cita-cita menyempurnakan acara ini," jelasnya.
14 kategori dipertandingkan ialah 120 km terbuka lelaki dan wanita, 120 km terbuka veteran lelaki, 120 km terbuka korporat, 78 km terbuka lelaki dan wanita, 78 km terbuka veteran lelaki dan wanita, 78 km dewasa lelaki dan wanita, 22 km remaja lelaki dan wanita serta 12 km kanak-kanak lelaki dan wanita.
Berikutan kejayaan tahun lalu, penganjur turut memperkenalkan sesi pushbike untuk kanak-kanak berumur antara dua hingga lapan tahun sebagai permulaan bagi memupuk minat mereka dalam sukan berbasikal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram