Ketampanan jadi perhatian gadis di Hangzhou, Latif Romly mahu lakar emas hatrik


  • Podium
  • Ahad, 22 Okt 2023

Atlet lompat jauh para negara, Latif Romly mahu membawa pulang emas untuk Malaysia. — The Star

SENYUMAN yang terpancar di wajah atlet lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly jelas menggambarkan kegembiraan yang terbuku di hati.

Hal ini kerana, Latif teruja selain mendapat inspirasi apabila diberi penghormatan ketika acara larian obor temasya Sukan Para Asia 2022, Hangzhou, China pada Sabtu.

Latif, 26 tahun, menyifatkan pengalaman pertamanya dalam larian obor itu sebagai amat berharga dan ia akan menjadi inspirasi besar untuk cemerlang bersama Malaysia dalam Sukan Para Asia ketiganya.

“Ia adalah kali pertama saya. Ia adalah pengalaman yang indah dan tidak ternilai, saya sangat gembira dan orang di sini (Hangzhou) bersikap mesra.

“Paling penting, bagi rakyat Malaysia, ia merupakan satu pengiktirafan besar untuk negara kita. Jadi ia adalah detik yang membanggakan bagi saya. Ia juga akan memberi inspirasi kepada saya untuk bermain dengan baik dalam perlawanan ketiga saya," kata Latif, yang merupakan pelari ke-59 daripada 110 peserta larian obor.

Latif juga disambut dengan sorakan gemuruh sebelum dikerumuni peminat wanita yang turut mahu bergambar bersamanya ketika menyempurnakan larian obor melalui Jalan Pinglan di daerah Zheijiang itu.

Bukan itu sahaja malah ketampanan Latif juga mencuri perhatian ramai terutama kaum wanita di Hangzhou.

Latif, pemenang pingat emas Paralimpik Tokyo dalam acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) dua tahun lalu, mahu berusaha untuk mengekalkan emas yang dimenanginya pada edisi Jakarta-Palembang, Indonesia 2018 meskipun dia mengakui belum cergas sepenuhnya kerana masih pulih daripada kecederaan pangkal paha.

Sebelum ini, Latif pernah mengejutkan negara dengan memenangi emas pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Dia bagaimanapun tidak mahu melepaskan peluang bagi melakar emas hatrik pada penampilannya kali ini meskipun tidak berada pada tahap kecergasan 100 peratus.

“Saya mengalami kecederaan itu selepas Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 pada Julai.

“Saya memenangi pertandingan itu tetapi ia memerlukan pengorbanan kerana saya mengalami kecederaan pangkal paha. Jadi dari dulu hingga sekarang, saya fokus untuk pemulihan.

"Ia akan menjadi agak sukar untuk sampai ke sana. Tetapi saya sedar bahawa lompatan saya tidak terjejas oleh kesakitan. Saya hanya fokus pada diri saya sendiri, langkah saya dan lompatan apabila saya bersaing. Saya enggan fikir apa-apa lagi," jelasnya.

Meskipun dia diletakkan sebagai pilihan utama tetapi dia tidak memandang rendah kemampuan pencabar lain yang dianggap mampu melakar kejutan.

“Saya tidak boleh terlalu yakin. Saya hanya fokus pada apa yang saya lakukan dan melihat ke mana ia membawa saya. Saya melihat pemain Arab Saudi, Hassan Dawshi sebagai pencabar utama saya kerana dia bermain dengan cukup baik dalam Kejohanan Para Dunia.

“Saya juga tahu atlet Jepun boleh menjadi ancaman. Tetapi saya lebih bimbang tentang apa yang akan saya lakukan. Saya mahu membanggakan Malaysia sekali lagi," ujarnya. — The Star/ T.Avineshwaran

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram