Gagal ujian dadah lepas minum ubat batuk anak, hasrat fans lihat Gomez sarung jersi JDT mungkin terkubur


  • Podium
  • Ahad, 22 Okt 2023

Gomez tampil dalam dua aksi perlawanan bersama Monza sebelum digantung oleh FIFA. — Agensi

PAPU Gomez yang beraksi bersama Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 di Qatar akhir tahun lalu digantung dua tahun oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas diuji positif menggunakan bahan terlarang.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh kelabnya, Monza yang menyebut bahan terlarang jenis terbutaline dikesan berada dalam sampel biologi pemain tengah itu ketika dia mewakili Sevilla tahun lalu.

Laporan media Sepanyol, Revelo yang disahkan akhbar Itali Gazzetta, menjelaskan ujian itu dijalankan oleh doktor ketika sesi latihan Sevilla.

Gomez, mendakwa dia berdepan masalah kesihatan yang menyebabkan dia mengambil ubat batuk anaknya tanpa merujuk doktor kelab.

Gomez

Gomez menjuarai Piala Dunia bersama Argentina pada tahun lepas. — Agensi

“FIFA telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Anti-Doping Sepanyol mengenai keputusan awal berkenaan dakwaan yang dikenakan terhadap Alejandro Dario Gomez.

“Hukuman itu melibatkan penggantungan selama dua tahun daripada sebarang aktiviti sukan.

“Ia (terbutaline) adalah sejenis ubat yang digunakan untuk meredakan masalah bronkospasma yang diambil pada 2022 ketika pemain itu didaftarkan bersama Sevilla FC," kata Monza dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Gomez JDT

Gomez pernah berjumpa TMJ pada tahun lepas.

Sebelum ini Gomez dikaitkan dengan JDT, namun hasrat untuk melihat dia menyarung jersi Harimau Selatan mungkin berakhir apabila sah digantung oleh FIFA selama dua tahun.

Gomez akan dibenarkan beraksi ketika usianya menjangkau 37 tahun dan itu mungkin akan menimbulkan banyak pertimbangan buat JDT untuk membawanya ke bumi Darul Takzim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram