TUGASAN Harimau Malaya bagi pertandingan Pestabola Merdeka sudah berakhir, skuad kendalian Kim Pan-gon mengharungi dua perlawanan yang baik menentang India dan Tajikistan.
Walaupun menang ke atas India, Malaysia kecundang di perlawanan akhir kepada Tajikistan sekali gus gagal membawa pulang kejuaraan Pestabola Merdeka.
Kekalahan itu nyata mengecewakan ekor Harimau Malaya yang mengharapkan kejuaraan pertama hadir buat Malaysia di era kepimpinan Pan-gon. Namun begitu, pengendali skuad kebangsaan itu sendiri mengatakan pasukannya perlu kalah demi mencari kelemahan sebelum ke Piala Asia.
Akan tetapi, terdapat satu corak permasalahan yang sebenarnya sudah bersarang sejak hari pertama Pan-gon mengambil alih jawatan jurulatih Harimau Malaya. Permasalahan tersebut adalah berkenaan mentaliti pasukan itu sendiri.
Kim Pan-gon perlu atasi masalah tidak mampu beraksi di perlawanan besar dalam skuad Malaysia. — Facebook/FAM
Jika dilihat, Malaysia sering mengalami gagal untuk beraksi dengan sebaiknya apabila tiba perlawanan yang penting. Harimau Malaya dilihat gagal untuk bermain cemerlang dalam perlawanan-perlawanan besar.
Contohnya adalah ketika pertemuan menentang Singapura di awal karier Pan-gon bersama-sama Harimau Malaya. Status perlawanan yang merupakan aksi pertemuan antara dua seteru utama membuatkan Malaysia tumbang.
Contoh lain adalah ketika separuh akhir Piala AFF 2022 menentang Thailand di mana Malaysia melepaskan pendahuluan pada aksi pertama hanya untuk kalah pada timbal balik.
Dan yang terkini adalah perlawanan akhir Pestabola Merdeka kepada Tajikistan.
Menurut penganalisis sukan negara, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, perkara itu merupakan sesuatu yang perlu dibaiki oleh Pan-gon supaya Harimau Malaya tidak mudah kecundang dalam perlawanan penting.
"Bila kita bermain di perlawanan-perlawanan penting, tiba-tiba saja kita akan lakukan kesilapan-kesilapan kecil yang menyebabkan kita kalah.
"Jadi apa yang perlu diutamakan adalah menjadikan perlawanan-perlawanan bertaraf tinggi itu adalah kebiasaan buat Harimau Malaya. Kita perlu biasakan diri dengan perlawanan menentang pasukan terbaik untuk kukuhkan mentaliti pemain," kata Zulakbal kepada Majoriti.
Malaysia tidak mampu menewaskan Tajikistan dalam dua pertemuan. — Facebook/FAM
Melihat kepada kekalahan dua kali kepada Tajikistan, Zulakbal menolak idea pasukan tersebut adalah boogey team kepada Malaysia.
Sebaliknya, ia berpunca kepada kegagalan Malaysia cuba mencari pendekatan terbaik untuk mengalahkan Tajikistan.
"Kita seolah-olah tidak belajar daripada kekalahan dengan Tajikistan yang lalu. Sebaliknya, Tajikistan yang belajar daripada kita.
"Tiada istilah boogey dalam bola sepak, ia berkaitan mentaliti. Di Piala Asia kelak, semua ada pasukan yang lebih hebat daripada Tajikistan jadi kita perlu bersedia.
"Mentaliti juara itu perlu ada dengan siapa pun kita berjumpa. Di Piala Asia nanti, pasukan-pasukan utama ini akan tunggu saja untuk kita buat silap, salah sikit sahaja kita pasti akan dihukum," jelas Zulakbal.
Selepas tugasan Pestabola Merdeka, tugasan seterusnya untuk Harimau Malaya adalah berdepan Krygzstan dan Chinese Taipei dalam dua aksi pertama kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram