Pahang Rangers terus orak langkah, hantar wakil ke persidangan global di London


  • Podium
  • Ahad, 22 Okt 2023

Pahang Rangers sememangnya merupakan salah sebuah kelab futsal terbaik dalam negara. — Facebook/Pahang Rangers FC

TIDAK boleh dinafikan bahawa Pahang Rangers merupakan pasukan futsal terbaik yang sedang menguasai sukan terbabit beberapa tahun kebelakangan ini.

Musim ini, pasukan kendalian Gerard Casas itu 'menyapu' bersih kedua-dua kejohanan peringkat domestik, iaitu Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) serta Piala Futsal Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, pasukan berkenaan turut mempunyai potensi tersendiri di peringkat lebih tinggi apabila mereka mara ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2023.

Kemegahan mereka itu sudah tentunya sukar dipertikaikan mana-mana pencabar yang sudah pastinya mahu menamatkan cengkaman kelab berkenaan pada tahun-tahun mendatang.

Bagaimanapun, kecekapan pihak pengurusan dalam menjaga kebajikan pemain semestinya akan menyukarkan usaha mereka dengan Pahang Rangers kini terus berkembang.

393991180_718521710312082_7011968319228531610_n

Syahir (kiri) serta Mutiara ketika di Persidangan Pemimpin dalam Sukan 2023 di London. Facebook/Pahang Rangers FC

Usaha pasukan itu sepertinya masih belum terhenti apabila baru-baru ini, mereka mengambil keputusan menghantar wakil untuk menghadiri Persidangan Pemimpin dalam Sukan bertempat di London, England pada Jumaat lalu.

Kakitangan yang menghadiri perjumpaan berkenaan merupakan pengurus pasukan, Syahir Abd Aziz serta Setiausaha Agung Pahang Rangers, Mutiara Bahir.

"Mereka bukan sahaja berpeluang belajar daripada pemimpin-pemimpin terbaik dalam industri sukan tetapi turut didedahkan dengan amalan terbaik dipraktikkan oleh komuniti antarabangsa.

"Ruang untuk merangka strategi jangka panjang dan terus berkembang terbuka luas buat PRFC melalui persidangan ini," tulisnya dalam satu hantaran di laman Facebook Pahang Rangers FC.

Persidangan berkenaan turut dihadiri beberapa wakil daripada kelab-kelab sukan, termasuk futsal dan bola sepak yang berminat mengembangkan peranan masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram