TERENGGANU FC memastikan bekalan cukup selesa diperoleh mereka untuk aksi timbal balik Piala Malaysia 2023 setelah menumpaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 2-1 di tempat lawan pada Sabtu.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu menyaksikan Ivan Mamut dan Nik Sharif Haseefy berjaya membawa pulang kemenangan berharga untuk skuad Sang Penyu.
KL City bagaimanapun berjaya mengurangkan defisit jaringan pada minit-minit akhir apabila Tchetche Kipre berjaya menyempurnakan sepakan penalti menewaskan Suhaimi Husin.
Kipre berjaya menyempurnakan sepakan penalti sekali gus membantu KL City mengurangkan defisit jaringan. — Facebook/MFL
Meskipun berjaya meraih kemenangan itu, Ketua Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner bagaimanapun tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.
"Kami mempunyai banyak peluang tetapi gagal mencipta peluang itu dan bagi saya perbezaan satu gol adalah tidak baik untuk aksi timbal balik nanti," katanya.
Pengendali kelahiran Croatia itu juga berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh skuad kendaliannya meskipun berlaku sedikit kesilapan dalam perlawanan tersebut.
"Saya tetap berpuas hati dengan pasukan Terengganu. Ia perlawanan yang baik, tahniah kepada kedua-dua pasukan dan tahniah kepada skuad Terengganu kerana menampilkan aksi persembahan yang baik. Kami patut menang.
"Untuk aksi timbal balik nanti, kami akan lebih bersedia, fokus dan perlu menang kerana kita tidak tahu jika Paulo Josue dan Romel Morales bakal kembali beraksi nanti," jelasnya.
Sementara itu, pengendali The City Boys, Nenad Bacina berkata, meskipun kecewa dengan keputusan tersebut namun berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya dan yakin masih mampu melakar kejutan pada aksi timbal balik nanti.
"Secara keseluruhan, saya tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut tapi saya gembira dengan persembahan yang ditampilkan oleh KL City yang berjaya mengawal permainan tersebut.
Tambahnya lagi, jaringan minit-minit akhir Kipre memberi keyakinan kepada pasukan The City Boys untuk meraih kemenangan dalam aksi timbal balik nanti.
"Gol Kipre memberi kami keyakinan dan harapan meraih kemenangan untuk aksi seterusnya, walaupun kami ketinggalan 2-0 dan saya yakin boleh tewaskan Terengganu nanti.
Kemenangan 2-1 itu belum meletakkan Terengganu dalam keadaan selesa menjelang pertembungan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada 3 November ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram