Hospitaliti luar stadium KL City buat penyokong Terengganu jatuh cinta


  • Podium
  • Isnin, 23 Okt 2023

Terengganu dan KL City akan berentap semula untuk mengesahkan slot akhir Piala Malaysia pada 3 November nanti. — Facebook/TFC

TERENGGANU FC (TFC) terpaksa bermandi peluh sebelum melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Kuala Lumpur City (KL City) pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.

Dalam perlawanan itu, The City Boys terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan yang dilakukan oleh pasukan pelawat, Ivan Mamut pada minit ke-45.

Pemain gantian, Nik Sharif Haseefy turut memastikan TFC selesa di depan apabila meledak gol cantik menerusi luar kotak penalti pada minit ke-88.

Bagaimanapun, impian TFC untuk membawa bekalan selesa tidak kesampaian selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti sekali gus kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya oleh penyerang import, Tchetche Kipre untuk merapatkan kedudukan.

Walaupun pasukan tuan rumah gagal untuk membawa bekalan selesa untuk beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 3 November nanti, namun ia tidak menghalang pihak pengurusan mendapat pujian daripada penyokong pelawat yang hadir ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan perlawanan itu.

Ini kerana pihak pengurusan KL City telah menyediakan surau bergerak di luar pekarangan stadium hasil kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Bank Rakyat Malaysia.

Surau Bergerak

Penyokong Terengganu menggunakan perkhidmatan surau bergerak yang disediakan oleh pihak pengurusan stadium. — Facebook/Football Terengganu

Perkongsian itu dikongsikan oleh laman Facebook Football Terengganu yang mengajak kesemua pasukan dalam Liga Malaysia melakukan inisiatif seperti itu untuk memudahkan urusan solat penyokong-penyokong yang hadir.

"Wajar dicontohi semua kelab jalinkan kerjasama untuk kemudahan solat di sekitar kawasan stadium terutama ketika perlawanan tumpuan."

Menerusi perkongsian gambar Football Terengganu pihak bertanggungjawab bukan sahaja menyediakan ruang solat dalam bas, malah turut meletakkan tikar serta sejadah di luar kawasan surau bergerak bagi mengelakkan daripada penyokong menunggu dan bersesak-sesak.

Tempat Wuduk

Tempat berwuduk juga disediakan bagi memudahkan urusan penyokong. — Facebook/Football Terengganu

Bukan itu sahaja, kawasan untuk mengambil wuduk juga disediakan bagi memudahkan urusan penyokong yang menggunakan perkhidmatan surau bergerak itu.

Terengganu dan KL City akan berentap semula untuk mengesahkan slot akhir Piala Malaysia namun sebelum itu anak-anak buah Tomislav Steinbruckner perlu melayani kunjungan kelab Filipina, Stallion Laguna FC dalam perlawanan Piala AFC pada Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram