JOHOR Darul Takzim telah melakar rekod baharu dalam sejarah bola sepak Malaysia selepas menjadi juara 10 kali berturut-turut yang tidak pernah dicapai oleh pasukan lain di negara ini.
Malah JDT juga merekodkan 'double unbeaten' di perlawanan Liga Super sejak musim lalu sekali gus meletakkan Harimau Selatan berada dalam kelas tersendiri.
Sudah menjulang Piala FA dan Liga Super, kini JDT dalam landasan terbaik untuk bergelar juara 'treble' jika menjuarai Piala Malaysia dalam perlawanan akhir nanti.
Sempena menyambut kejuaraan sedekad bersama Harimau Selatan, Majoriti senaraikan bintang JDT yang pernah menyarung jersi ikonik nombor 10 di bawah era tampuk kepimpinan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim:
1. Pablo Aimar (2014)
Antara pemain import bertaraf bintang pernah dibawa TMJ sepanjang bergelar pemilik Harimau Selatan ialah Pablo Aimar.
Jaringannya ketika menentang Sri Pahang FC antara momen yang tidak akan dilupakan seluruh penyokong bola sepak Malaysia.
Legenda skuad kebangsaan Argentina itu bagaimanapun hanya beraksi sebanyak lapan perlawanan bersama JDT dan sempat menjaringkan dua gol ketika bertemu Pahang dan Lions XII pada 2014.
Selepas itu, Aimar terpaksa meninggalkan Harimau Selatan kerana dipercayai sukar untuk mengekalkan tahap kecergasan sekali gus hanya bertahan selama empat bulan sebelum dilepaskan pada April 2014.
Safee berjaya meledak dua gol dalam tahun pertama bersama Harimau Selatan pada 2013. — Facebook/JDT
2. Mohd Safee Sali (2014-2016)
Legenda penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali antara pemain pertama yang menyarung jersi nombor 10 Harimau Selatan sejak Johor ditransformasikan oleh TMJ.
Menyertai JDT secara pinjaman daripada Arema Cronus, Safee berjaya meledak dua gol dalam tahun pertama bersama Harimau Selatan pada 2013.
Pada 2013, bekas pemain kebangsaan itu memakai jersi nombor 14 sebelum ditukarkan musim berikutnya dengan angka 10.
Namun bagi memberi laluan kepada Pablo Aimar untuk menyarung jersi nombor 10, Safee memilih beraksi dengan angka 11 sebelum ditukarkan kembali ke 10 pada 2015.
Brian (kiri) hanya sempat tampil dalam 10 perlawanan bersama JDT. — Facebook/JDT
3. Brian Ferreira & Gabriel Guerra (2017)
Anda mesti pelik kenapa dua pemain memakai jersi nombor yang sama dalam satu musim.
Ini kerana sebelum Brian Ferreira meninggalkan JDT susulan prestasi yang tidak menentu, pemain kelahiran Argentina itu terlebih dahulu memakai jersi nombor 10 pada musim berkenaan.
Ketika itu, Gabriel Guerra telah menyarung jersi nombor 22 sebelum angka 10 tersebut diberikan kepada sebaik Brian meninggalkan JDT.
Bersama JDT, Brian hanya sempat tampil dalam 10 perlawanan apabila menjaringkan dua gol serta satu assist.
Manakala, Guerra pula meledak 17 gol dan sembilan assist dalam 31 perlawanan bersama JDT sebelum kembali menyertai PKNS FC pada musim berikutnya.
4. Harry Novillo & Natxo Insa (2018)
Antara pemain yang pernah beraksi bersama pasukan gergasi Perancis, Olympique Lyon, Harry Novillo antara individu yang mengalami nasib sama seperti Brian.
Pemain berusia 31 tahun itu dikenali dengan pakar sepakan percuma namun dia gagal menyesuaikan diri dengan kancah liga bola sepak Malaysia.
Bersama JDT, dia diberikan jersi nombor 10 tapi hanya sempat melakukan tiga penampilan dan satu gol pada musim 2018.
Kemudian nombor tersebut diserahkan kepada Natxo Insa yang mana sebelum itu, bekas pemain Celta Vigo berkenaan memakai angka 50 selepas Novillo diturunkan pangkat ke JDT II.
5. Muhd Safawi Rasid (2019)
Masihkah anda ingat? Safawi Rasid pernah menyarung dua nombor jersi pada musim 2019 dalam dua kejohanan berbeza.
Dalam Liga Super ketika itu, Safawi masih mengekalkan nombornya sejak menyertai JDT sehingga hari ini iaitu 29.
Namun, JDT dan Safawi tampil berbeza dalam kejohanan Asia Champions League (ACL) apabila dia didaftarkan dengan jersi nombor 10.
Momen yang paling tidak akan dilupakan oleh Safawi serta seluruh penyokong bola sepak adalah jaringan kaki kiri yang dilakukannya ketika menentang kelab China, Shandong Luneng.
Apa yang lebih menarik lagi, jaringan itu dilakukan semasa menyarung jersi nombor 10 dan dicalonkan sebagai pemenang Gol Terbaik Sedekad ACL pada 2020.
Velazquez mulanya diberikan nombor 18 dua musim berturut-turut sebelum diberikan angka 10 selepas tampil cemerlang bersama Harimau Selatan. — Facebook/JDT
6. Leandro Velazquez (2021-kini)
Siapa penyokong JDT yang tidak mengenali Leandro Velazquez anda bukanlah pemain ke-12 sejati buat Harimau Selatan.
Kenapa? Individu itulah pemain yang memberikan kemenangan buat JDT untuk menewaskan Istiklol FC dalam perlawanan akhir Piala AFC 2015.
Leandro sejak tiga musim lalu merupakan arkitek tengah terbaik JDT dalam merencanakan serangan ke kubu pihak lawan.
Mula menyertai JDT semula pada 2019, Velazquez mulanya diberikan nombor 18 dua musim berturut-turut sebelum diberikan angka 10 selepas tampil cemerlang bersama Harimau Selatan.
Sejak bersama JDT pada 2019, Velazquez telah menjaringkan 31 gol dan 28 assist dalam 99 penampilan sekali gus menjadi antara pemain import terbaik Harimau Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram