'Jangan bila dah layak nanti main Liga Super separuh jalan'


  • Podium
  • Ahad, 22 Okt 2023

Imigresen kini boleh dikatakan sudah satu kaki ke Liga Super musim depan, namun perlu melepasi syarat pelesenan oleh MFL sebelum dibenarkan beraksi.

PENANTIAN yang cukup mendebarkan buat Imigresen FC sebelum ditabalkan sebagai juara Liga M3 MBSB Bank Champions Cup menerusi kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka FC di Stadium Hang Tuah, Melaka pada Sabtu.

Selepas tamat perlawanan ke atas Melaka, skuad kendalian Mat Zan Mat Aris masih belum mampu bersorak gembira kerana perlu menantikan aksi pendahulu, KL Rovers yang ketika itu terikat 1-1 dengan Harini FT.

Norshahrul Idlan Talaha meletakkan Harini di depan pada minit ke-25 sebelum Rafie Mat Yaacob menyamakan kedudukan lima minit berselang.

Namun begitu, ia tidak cukup untuk memberikan kejuaraan buat KL Rovers kerana keputusan di Stadium Hang Jebat mengubah segalanya.

Di Stadium Hang Jebat, sepakan penalti Azim Rahim pada babak separuh masa pertama sudah cukup untuk memberikan kemenangan buat Imigresen sekali gus tiga mata diperoleh bagi memastikan kejuaraan berjaya dirampas daripada KL Rovers.

Akhirnya, Imigresen diangkat sebagai juara Liga M3 dengan mengutip 55 mata sementara KL Rovers mendapat 54 mata. Harini pula menamatkan saingan sebagai pasukan ketiga terbaik dengan memperoleh 51 mata.

Imigresen boleh dikatakan sudah satu kaki ke Liga Super 2024 namun perlu melepasi syarat pelesenan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum dibenarkan beraksi.

Sementara itu, bagi KL Rovers pula, mereka akan memasuki pusingan play-off dan jika menang, kelab itu boleh ke Liga Super jika lepas syarat pelesenan.

Bercakap mengenai layak ke Liga Super musim depan, mula timbul persoalan adakah pasukan-pasukan dari status amatur sudah mampu untuk beraksi dalam pentas tertinggi bola sepak Malaysia?

Dr Pekan Ramli

Datuk Dr. Pekan Ramli.

Penganalisis sukan negara, Datuk Dr. Pekan Ramli turut mempersoalkan kemampuan pasukan-pasukan Liga M3 untuk beraksi dalam Liga Super yang memerlukan bajet sekurang-kurangnya sekitar RM10 juta ataupun lebih.

"Saya rasa apa hala tuju pasukan dalam Liga M3 sebenarnya? Sebab pasukan Liga M3 ini banyak pasukan-pasukan daripada segi 'survival' dia pun agak susah macam mana juara M3 nak pergi ke Liga Super?

"Daripada satu pasukan yang bajetnya hanya satu atau dua juta nak pergi ke Liga Super yang memerlukan bajet RM10 sehingga 15 juta setahun?

"Segi kemampuan itu menjadi persoalan, tambah pula pasukan-pasukan yang bersaing muncul juara adalah pasukan yang sumbernya kewangannya mungkin diperoleh oleh kerajaan ataupun jabatan masing-masing.

"Jadi ini satu perkara yang boleh membimbangkan jika mereka layak, tetapi masih tiada sumber kewangan yang kukuh atau jaminan pendapatan, nanti ia akan jadi benda yang tidak sihat dalam bola sepak kita.

"Pergi balik, pergi balik inilah masalah yang sama, sedangkan dalam Liga M3 itu sendiri ada pasukan yang saya sendiri tahu ada masalah gaji tidak dibayar sekarang, ini baru status amatur," katanya kepada Majoriti.

Kedudukan Pasukan

Kedudukan akhir Liga M3. Facebook/AFL

Pekan juga berharap objektif Liga M3 itu perlu diselaraskan semula selepas kehadiran bekas bintang-bintang profesional yang menyekat peluang pemain-pemain muda untuk mempamerkan bakat masing-masing dalam platform lebih kompetitif.

"Objektif Liga M3 perlu diperkemaskan semula, kelab bertanding perlu ada had untuk rekrut pemain bertaraf Liga Super.

"Kita faham mereka dah tidak ada lagi sumber pendapatan, jadi mereka turun main dalam liga amatur.

"Sepatutnya kalau awak dah ada status yang tinggi sebagai pemain profesional awak tak boleh main dalam liga amatur.

"Benda ini kita perlu lihat, sebab awak profesional bila tiada pasukan anda pergi ke liga amatur sedangkan Liga M3 itu untuk pemain-pemain yang baru nak cari makan, yang baru nak membangun, berjinak-jinak dalam satu liga kompetitif.

"Jadi matlamat dan hala tuju Liga M3 ketika ini tidak berapa sihat," jelasnya.

KL Rovers

KL Rovers turut mendapat peluang beraksi dalam Liga Super musim depan menerusi perlawanan play-off. Facebook/KL Rovers

Tambahnya lagi, pasukan-pasukan amatur yang bersain dalam Liga M3 mahupun M4 perlu ada matlamat dan hala tuju yang jelas tentang perjalanan kelab masing-masing.

"Nasihat saya untuk pasukan M3 atau M4 mereka perlu ada hala tuju yang jelas, kita tahu semua pasukan nak bersaing ke peringkat lebih tinggi.

"Tetapi setiap pasukan itu perlu ukur kemampuan masing-masing, kalau rasa nak bermain dalam liga amatur, fokus kepada Liga M3, kalau tidak mahu ke Liga Super pandai-pandai rancang perjalanan pasukan tak perlu berhabis-habis untuk jadi juara Liga M3.

"Jadi apabila layak esok lusa, mula mahu tarik diri ataupun main Liga Super separuh jalan macam-macam masalah timbul.

"Di sini saya rasa pihak pengurusan perlu jelas dengan objektif penyertaan Liga M3 atau M4," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram