PASUKAN ragbi ternama, The All Blacks menjadi tumpuan baru-baru ini apabila pemain-pemain mereka bertindak mengangkat sebuah kereta yang menghalang laluan bas untuk ke padang latihan.
Kejadian cukup menakjubkan itu terjadi pada Selasa lalu dengan ia sempat dirakam sebelum dimuat naik di laman media sosial rasmi mereka.
Dalam video berdurasi 50 saat itu, beberapa pemain kelihatan bersungguh-sungguh mengangkat kereta model Land Rover Discovery yang menyekat laluan bas pasukan.
Meskipun kenderaan itu mempunyai jisim sehingga melebihi 2,100 kilogram (kg), kehadiran mereka yang cukup sasa dilihat mudah mengalihkannya, sekali gus membolehkan bas pasukan bergerak.
Difahamkan, pasukan The All Blacks ketika itu sedang dalam perjalanan untuk menyertai latihan sebelum aksi separuh akhir Piala Dunia Ragbi 2023 di Perancis menentang Argentina.
Jadi, dengan pemain mereka cukup dikenali dengan disiplin serta penjagaan masa, kelewatan untuk turun ke padang latihan semestinya sukar diterima anak-anak buah Ian Foster.
Kesungguhan yang dipamerkan tersebut sememangnya membuahkan hasil apabila pasukan berpangkalan dari New Zealand itu mudah menumpaskan lawan mereka dengan skor 44-6.
Kemenangan berkenaan sekali gus membolehkan pasukan The All Blacks menempah tiket ke perlawanan akhir berdepan juara bertahan, Afrika Selatan pada Ahad.
Pertembungan berkenaan sudah tentunya amat dinanti-nantikan memandangkan kedua-dua mereka kini berada dalam kelompok dua pasukan teratas dunia dengan Afrika Selatan mengungguli carta. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram