Kepulangan Nafuzi Zain ke Gong Badak tidak buahkan hasil, tapi pemain sayap Sang Penyu jadi sebutan ramai


  • Podium
  • Selasa, 04 Jul 2023

Engku Nur Shakir (kanan) menjadi penyelamat buat skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC

TERENGGANU FC mencatatkan kemenangan bermakna dalam saingan Liga Super apabila menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

Kejayaan tipis 1-0 yang diperolehi menerusi jaringan Engku Nur Shakir pada minit ke-15 memisahkan kedua-dua pasukan dengan keputusan kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.

Tiga mata yang dikutip skuad Sang Penyu itu membolehkan mereka menduduki tangga keenam Liga Super ketika ini selepas memintas Kuala Lumpur (KL) City FC.

Kemenangan yang direkodkan Terengganu FC itu juga menyaksikan kepulangan bekas ketua jurulatih mereka, Nafuzi Zain ke bumi Terengganu tidak membuahkan sebarang hasil.

Sebelum ini, ramai berpandangan pengendali muda itu mampu merekodkan tiga mata memandangkan dia mempunyai pengalaman cukup mendalam bersama skuad Sang Penyu.

Di samping itu, KDA FC berada dalam prestasi cemerlang sebelum itu dengan mereka mencatatkan dua kemenangan berturut-turut ketika berdepan Perak FC dan Sabah FC.

357476474_253646144043494_4969143538159415010_n

Nik Sharif gagal menunjukkan belang sepanjang menyarung jersi skuad Sang Penyu musim ini. Facebook/Terengganu FC

Namun, perbincangan berkenaan tidak terhenti di situ apabila penyokong Terengganu FC berasakan ketumpulan pemain sayap, Nik Sharif Haseefy sedikit mengecewakan mereka.

Meskipun diberikan kesempatan untuk berada dalam kesebelasan utama, pemain berusia 26 tahun itu dikatakan sering mensia-siakan peluang sepanjang berada di atas padang.

Kehadirannya tersebut jelas membangkitkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat setia kelab berkenaan dengan hal terbabit memenuhi media sosial.

"Nik Sharif boleh tak tukar dengan pemain lain? Peluang di hadapan pintu gol pun dia buat rembatan tinggi seperti ragbi," kata Syukur Saleh.

"Nik Sharif main macam mana, tidak mempunyai idea. Bola boleh dihidangkan untuk Adisak (Kraisorn), boleh pula dia buat percubaan," kata Ahmad Syamsulbahri.

"Kerap lakukan kesilapan Nik Syarif. Sepanjang berada di bawah Nafuzi sekali pun, dia pun tidak menyempurnakan peluang di hadapan pintu gol," kata Ahmad Rizal.

Selepas ini, Terengganu FC bakal berdepan KL City FC di Stadium Cheras, KL dengan peluang untuk mendaki tangga carta Liga Super semakin cerah.

Bagi KDA FC pula, mereka berpotensi untuk kembali merekodkan kemenangan apabila berkunjung untuk ke Stadium MBPJ, Selangor pada 9 Julai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram