Jason Derulo hadir rai kejayaan JDT


  • Podium
  • Jumaat, 14 Okt 2022

JDT berjaya meraih gelaran juara Liga Super buat kali kesembilan musim ini.

PENYANYI dan penulis lagu antarabangsa, Jason Derulo akan membuat persembahan dalam majlis sambutan kejayaan Johor Darul Takzim (JDT) musim ini pada Sabtu.

Perkara itu diumumkan laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers.

Majlis sambutan itu akan diadakan selepas perlawanan terakhir JDT di Liga Super menentang Sabah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Sambutan itu bakal menyaksikan JDT menjulang gelaran juara Liga Super sebanyak sembilan kali berturut-turut.

Selain Liga Super, Harimau Selatan juga berjaya merangkul Piala FA dan Piala Sumbangsih pada awal tahun ini.

Selain itu, JDT II pula berjaya bergelar juara Liga Perdana manakala Akademi JDT memenangi tujuh piala peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk Piala Presiden Bawah 21 tahun oleh JDT III.

Secara keseluruhan, JDT telah memenangi 11 trofi pada 2022.

Sambutan itu turut menampilkan atlet Sukan Malaysia (Sukma) Johor, Pasukan Hoki Ais JDT, Johor Jewels (bola jaring), Johor Tigris (Sepak Takraw) dan pemain ragbi negeri.

Kontinjen Sukma Johor 2022 memenangi 77 pingat emas, 52 perak dan 43 gangsa untuk muncul juara keseluruhan buat pertama kali dalam sejarah 36 tahun temasya itu.

Tiket untuk perlawanan di stadium berkapasiti 40,000 itu juga telah habis dijual. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram