SEORANG bekas pemain ragbi Sabah didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah atas pertuduhan membunuh adik perempuannya.
Arden Mattson Maturin, 26, didakwa membunuh Audrey Maturin, 25, di rumah keluarga mereka di Taman Prestij, Jalan Signal Hill, Kota Kinabalu, Sabah pada 4 Mei lalu.
Arden yang memakai baju ungu, hadir di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun pada Jumaat untuk didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam tiba-tiba memberitahu mahkamah bahawa dia tidak bersalah dan mahu menjalani perbicaraan.
Majistret kemudiannya menjelaskan kepada tertuduh bahawa kesnya hanya untuk sebutan dan pengakuannya akan didengar di Mahkamah Tinggi.
Pegawai Pendakwa, Albert Basiri memohon tarikh sebutan seterusnya dan melanjutkan tahanan reman tertuduh.
Jessica kemudiannya menetapkan tarikh 14 Jun untuk sebutan seterusnya dan melanjutkan tahanan reman.
Audrey ditemui dengan kesan kecederaan serius di muka oleh bapanya dekat rumah keluarga mereka pada 4 Mei.
Polis sebelum ini berkata, suspek menumbuk kakaknya ketika bergaduh menyebabkan mangsa terpaksa dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth II dan ditempatkan di unit rawatan rapi.
Bagaimanapun, Audrey meninggal dunia akibat kecederaannya selepas tidak sedarkan diri selama dua hari.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan sebelum ini dirangka mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana secara sukarela menyebabkan kecederaan parah, tetapi ia kemudiannya diklasifikasikan semula sebagai kes pembunuhan.
Tambahnya, polis tidak menemui sebarang senjata di lokasi kejadian namun telah merampas dua cincin yang dipakai suspek yang didapati negatif dadah. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram