BOLA sepak sememangnya permainan yang menghiburkan. Ia bukan sahaja melibatkan teknik bermain serta taktikal, tetapi juga berkait dengan emosi.
Emosi jika ditonjolkan dengan tepat, maka ia akan memberikan aura yang baik kepada pasukan. Prestasi yang dipamerkan akan kelihatan baik, dan pastinya semua akan berasa senang apabila emosi dapat dikawal dengan kemas.
Tetapi jika tidak dikawal dengan baik, emosi boleh membunuh dan itu akan membuatkan sesebuah perlawanan bola sepak dicemari dengan insiden yang tidak dimahukan.
Itulah yang terjadi di Singapura apabila terdapat insiden pemain gagal mengawal emosi hinggakan tindakannya melampaui batas.
Dalam aksi saingan Singapore Cup antara Lion City Sailors (LCS) dengan Tanjong Pagar United, terdapat seorang pemain dibuang padang kerana tindakannya yang menendang pihak lawan.
Pemain Tanjong Pagar, Tajeli Salamat dibuang padang pada separuh masa kedua selepas dia menendang pemain LCS iaitu Richairo Zivkovic dalam video disiarkan di Twitter (X).
Situasi itu berlaku apabila Tajeli yang sedang membawa bola, kehilangan penguasaan selepas Zivkovic datang daripada belakang untuk merampasnya.
Tindakan yang dilakukan oleh Zivkovic itu kelihatan wajar dan tidak salah di sisi undang-undang bola sepak tetapi Tajeli yang tidak berpuas hati kerana hilang bola, terus melakukan perkara luar batas.
Tajeli kemudiannya menendang Zivkovic dengan penuh rasa bengang. Zivkovic selepas itu tidak berpuas hati lalu pergi ke arah Tajeli dan tindakannya itu mencetuskan pergaduhan.
Pengadil kemudiannya memberikan kad merah kepada Tajeli kerana perbuatan tidak bijaknya itu. Keputusan pengadil tersebut juga menyaksikan Tanjong Pagar terpaksa beraksi dengan sembilan pemain.
Sebelum Tajeli dibuang padang, pengadil telah mengeluarkan Blake Ricciuto kerana mengutip kad kuning kedua.
Dengan persembahan penuh emosi ditonjolkan oleh para pemain Tanjong Pagar telah menyebabkan mereka tumbang 4-1 kepada LCS pada perlawanan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram