MASIHKAH anda ingat kepada Lee Tuck? Seorang pemain yang pernah mencipta nama dalam kancah bola sepak tempatan sejak 2017 apabila menyertai Negeri Sembilan FC.
Lee Tuck kemudiannya terus mencipta legasi dalam bola sepak tempatan dan ketika mewakili Terengganu FC, namanya mula menarik perhatian terutamanya di United Kingdom (UK).
Hal ini kerana, Lee Tuck pernah mencipta sensasi dengan digelar sebagai 'pemain eksport United Kingdom paling berjaya yang tidak pernah didengar' oleh laman Dream Team di UK.
Karier Lee Tuck terus mekar di Malaysia hinggakan pemain itu layak untuk dinaturalisasikan sekali gus mewakili Harimau Malaya untuk beberapa kali.
Kelab terakhir diwakili Lee Tuck di Malaysia adalah Kedah Darul Aman (KDA FC) akan tetapi, tidak sampai semusim, pemain itu menamatkan kontraknya dan pulang ke UK.
Pemergian pemain terbaik bulanan (POTM) Liga Super bulan Jun itu ke UK mencetuskan tanda tanya, adakah dia tidak lagi berminat untuk mewakili Harimau Malaya terutamanya Piala Asia 2023 semakin hampir.
Daripada apa yang dilihat, fokus Lee Tuck seakan sudah jauh daripada bola sepak apabila dia kini terarah kepada penglibatan luar bola sepak.
Pemain berusia 35 tahun itu kini merupakan seorang ejen dalam bidang hartanah.
Dikenali sebagai Unified Properties, diusahakan bersama-sama isterinya, Georgia, perniagaan yang dikendalikan mereka adalah gabungan kepakaran dalam bidang pembinaan serta hartanah.
Lee Tuck menjadi finalis Anugerah Pelabur Hartanah terbaik di UK. — Facebook/Lee Tuck
Selepas hampir dua bulan menjadi ejen dalam bidang hartanah, syarikatnya berjaya menjadi finalis Anugerah Pelabur Hartanah terbaik di UK.
Perkongsian berita gembira itu dimuat naik oleh Lee Tuck dalam Facebook miliknya pada Jumaat yang mana dia dilihat sangat bangga dengan kemajuan diusahakan oleh pasukannya.
"Saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa saya adalah finalis dalam Anugerah Pelabur Hartanah yang merupakan salah satu anugerah terbesar di UK dan ia merupakan salah satu anugerah paling diiktiraf dalam industri hartanah di negara ini.
"Saya amat berbangga dengan pasukan saya di Unified Property atas semua kemajuan yang telah kami capai pada 2022/2023.
Lee Tuck berkongsi hartanah yang disewakannya di media sosial. — Instagram/Lee Tuck
"Walaupun ia tidak mudah, saya bersyukur atas pengiktirafan yang kami terima atas segala usaha kami untuk meningkatkan taraf sewaan hartanah," katanya.
Nampak gayanya, walaupun belum mengumumkan sebarang persaraan daripada bola sepak, tetapi dapat dilihat Lee Tuck kini sudah mula menjauhkan diri dan menceburi bidang lain untuk mencari rezeki.
Dengan usia kini 35 tahun, adalah tipis untuk melihat pemain tengah ini kembali beraksi di padang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram