[VIDEO] Skrip berbeza tapi isu padang pernah akibatkan pemain HM cedera


  • Podium
  • Sabtu, 21 Okt 2023

Tangkap layar ketika pemain pertahanan, Corbin-Ong bergelut dengan keadaan padang ketika aksi Pestabola Merdeka baru-baru ini.

BARU-BARU ini, kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang baru selesai dînaik taraf ke Zeon Zoysia mendapat kritikan hebat daripada penyokong tanah air berikutan rumput tercabut di beberapa bahagian padang ketika aksi Malaysia menentang India bagi kejohanan Pestabola Merdeka.

Lebih teruk lagi apabila keadaan rumput sebegitu rupa boleh mendedahkan pemain Harimau Malaya kepada risiko kecederaan dan secara tidak langsung akan mempertaruhkan masa depan karier mereka.

Hakikatnya, isu padang yang boleh mendatangkan kecederaan kepada pemain itu bukan pertama kali berlaku kerana sekitar sembilan tahun lepas, para pemain turut melalui skrip sama namun dengan keadaan berbeza.

Berdasarkan laporan media pada 21 Oktober 2014, pengendali Harimau Malaya ketika itu, Datul Dollah Salleh menzahirkan kebimbangannya mengenai risiko kecederaan dalam latihan di padang rumput tiruan Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Ketika itu, skuad kebangsaan terpaksa berlatih di padang tiruan berikutan untuk membiasakan diri selepas terpaksa bermain di padang tiruan Stadium Jalan Besar dalam Kejohanan AFF di Singapura pada 2014.

Pemain pertahanan skuad kebangsaan. Afif Amirudin dan pemain tengah, Safiq Rahim ketika itu hampir pulih daripada kecederaan tetapi kapten, Shukor Adan mengalami masalah pangkal paha ketika latihan manakala ramai lagi mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan, rentetan daripada kecederaan pemain lain, bekas jurulatih kebangsaan itu mendedahkan bahawa beberapa pemain mahu menggunakan kasut joging, bukan but dalam latihan.

aff

Pemain skuad Gajah Perang meraikan kemenangan pasukan itu di final kedua, AFF Suzuki Cup 2014 di Stadium Nasional di Bukit Jalil.

"Mereka takut kecederaan. Mereka percaya bahawa dengan memakai kasut joging, mereka akan mengelak daripada cedera di padang tiruan. Ya, bermain sering di padang tiruan boleh menyebabkan anda cedera.

"Bagaimanapun, kami tidak mahu memindahkan sesi latihan ke rumput kerana kami hanya mempunyai masa latihan yang terhad. Ya, saya sangat bimbang tentang kecederaan tetapi kami perlu meneruskan apa yang kami lakukan.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, pasukan seperti Myanmar dan Thailand turut prihatin bermain di Stadium Jalan Besar.

"Kami mungkin mempunyai sedikit kelebihan kerana pemain kami pernah bermain di venue itu dalam perlawanan Liga-M menentang LionsXII. Saya fikir kami harus berhenti bercakap tentang padang tiruan dan fokus pada Piala AFF,” katanya ketika itu.

Piala AFF edisi 2014 itu menyaksikan skuad Harimau Malaya gagal meraih kejuaraan apabila Thailand mendakap gelaran itu dengan aggregat 4-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 Disember 2014. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram