BEKALAN selesa dibawa pulang Terengganu FC setelah menumpaskan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi pertama Piala Malaysia di Stadium Cheras, KL pada Sabtu.
Jaringan Ivan Mamut dan Nik Sharif Haseefy memastikan kemenangan berpihak skuad Sang Penyu yang sudah tentunya diraikan ribuan penyokong di stadium berkenaan.
Meskipun tuan rumah cuba merapatkan jurang skor menerusi tendangan penalti Tchetche Kipre, nasib bagaimanapun memihak kepada pasukan pelawat dalam pertembungan itu.
Ia sekali gus memastikan kelab Pantai Timur itu sudah meletakkan sebelah kaki di pentas akhir kejohanan dengan pencapaian tersebut turut membuka peluang mereka menamatkan penantian menjulang trofi.
Kemenangan berkenaan sedikit sebanyak melenyapkan persoalan yang sebelum ini diajukan mengenai kredibiliti ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner.
Dia yang hadir dengan tanggungjawab besar untuk menggantikan Nafuzi Zain berdepan kritikan tanpa henti berpunca daripada prestasi tidak menentu di peringkat domestik.
Mamut menjadi wira apabila menjaringkan gol penting di Stadium Cheras, KL pada Sabtu. — Facebook/Terengganu FC
Namun, persembahan anak-anak buahnya ketika menundukkan KL City FC sudah tentu menjawab persoalan mengapa pihak pengurusan memilih untuk melantiknya.
Kebolehannya sebagai seorang pengendali turut disaksikan apabila jurulatih dari Croatia itu membuat beberapa percaturan yang cukup berkualiti.
Membincangkan akan perkara itu ialah penyokong di sebuah laman media sosial Facebook Analisis Bola Tranung yang mendapati taktikal Tomislav merupakan kunci di sebalik kemenangan itu.
"Penggantian yang membawa masuk Syahmi (Zamri) dan Nik (Sharif) untuk menggantikan (Engku) Nur Syakir dan Hakim (Hassan) merupakan langkah yang tepat.
"Hakim tidak dapat menyaingi tenaga pertahanan KL, terutamanya Declan (Lambert). Syakir juga gagal untuk memberi masalah kepada KL, dia buntu idea dan tiada sumbangan istimewa daripadanya," katanya.
Syakir dan Hakim diletakkan dalam kesebelasan utama dengan masing-masing mempunyai kualiti untuk membuat larian pecut mengatasi benteng pertahanan lawan.
Norhakim (kanan) bergelut sepanjang 45 minit berada di atas padang. — Facebook/Terengganu FC
Namun, ketika aksi di Stadium Cheras itu, benteng pertahanan skuad Warga Kota dilihat cukup rapat dalam usaha menyekat serangan Terengganu FC.
Jadi, perubahan yang dibuat pada babak kedua tersebut melihatkan satu hasil yang jelas apabila pasukan pelawat membuat beberapa asakan berbahaya ke arah benteng pertahanan KL City FC.
Selain itu, perubahan lain yang dibuat Tomislav dalam perlawanan itu adalah dengan memasukkan Ubaidullah Shamsul sebagai bek kanan bagi menggantikan Safwan Mazlan yang cedera.
"Ubai the best! Mungkin ada di antara kita tidak percaya Ubai baru saja berusia 19 tahun, namun aksinya matang melangkaui usia.
Prospek yang sangat baik, walaupun aku sedikit gusar pada awalnya dengan posisinya di bek kanan, namun dia menghilangkan kegusaran dengan aksinya yang cukup baik di atas nama pemain muda," tulisnya lagi.
Selepas ini, kedua-dua pasukan bakal berentap dalam perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 3 November untuk mengesahkan slot ke pentas final. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram