Seri di Darul Aman sekat peluang JDT pecahkan rekod dunia berusia 123 tahun


  • Podium
  • Selasa, 29 Ogos 2023

JDT gagal mencatatkan kemenangan ke-21 dalam 21 perlawanan dalam Liga Super musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

RENTETAN kemenangan Johor Darul Takzim (JDT) dalam 20 perlawanan Liga Super musim ini tiba-tiba terhenti Sabtu lalu apabila mereka tercicir mata ketika berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Mereka yang mencatatkan keputusan seri 3-3 pastinya sedikit kecewa dengan skor itu meskipun rekod tanpa kalah skuad Harimau Selatan masih belum tercalar.

Ia memandangkan kegagalan untuk membawa pulang tiga mata tersebut menangguhkan lagi hari keraian mereka untuk dimahkotakan sebagai juara Liga Super buat tahun ke-10 berturut-turut.

Tidak cukup dengan itu, keputusan seri tersebut turut memadam peluang JDT untuk mencipta satu rekod yang tidak pernah diulangi mana-mana pasukan seluruh dunia.

Pencapaian tersebut tercipta ketika kelab bola sepak Scotland, Glasgow Rangers memenangi kesemua 18 perlawanan liga semasa musim 1898/1899.

WhatsApp Image 2023-08-29 at 16.55.05

Skuad Rangers pada musim 1898/1899 merupakan antara yang terbaik dalam sejarah bola sepak dunia. Agensi

Rekod yang berusia 123 tahun itu seperti mustahil untuk dipecahkan memandangkan landskap bola sepak di seluruh dunia sudah semakin mencabar hari ini.

Sepanjang tempoh itu, Rangers menjaringkan 81 gol dalam 18 perlawanan dan hanya dibolosi sebanyak 18 kali, yang mana sesuatu yang menakjubkan sehingga hari ini.

Bagaimanapun, hasil carian di laman sesawang mendapati beberapa pasukan lain juga pernah mencatatkan kemenangan dalam kesemua aksi liga sebelum ini, namun ia tidak dimasukkan dalam rekod rasmi.

Antara pasukan yang pernah mencatatkan pencapaian sebegitu ialah kelab Hungary, Ferencvaros pada musim 1931/32 serta Dresdner SC di Jerman pada musim 1942/43.

Tetapi, rekod membanggakan JDT itu perlu diabadikan dalam sejarah bola sepak negara memandangkan ia semestinya sukar untuk diulangi pada tahun-tahun akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram