Semangat juang luar biasa jadi nadi Pahang Rangers rangkul kejuaraan berganda


  • Podium
  • Isnin, 11 Sep 2023

Pahang Rangers rangkul gelaran berganda dalam saingan domestik futsal Malaysia musim ini. — Facebook/FAM

PAHANG Rangers mencatatkan kejayaan cukup bermakna musim ini setelah berjaya menyapu bersih semua kejuaraan dalam kancah futsal negara musim ini.

Selepas berjaya merangkul kejuaraan Malaysia Premier Futsal League (MPFL), Pahang Rangers memastikan penguasaan mereka berterusan musim ini apabila menjuarai Malaysia Futsal Cup (MFC) selepas menumbangkan Johor Darul Takzim (JDT).

Dalam perlawanan akhir penuh dramatik di Stadium Malawati Shah Alam, skuad kendalian Gerard Casas menunjukkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan 1-3 untuk kembali mengikat jaringan kepada 3-3.

Pemenang perlu dicari dalam masa tambahan namun usaha itu gagal walaupun kedua-dua pasukan berjaya menambah satu gol untuk menjadikannya kedudukan 4-4.

Tuah nyata menyebelahi Pahang Rangers apabila kualiti penyudah lebih mantap ditampilkan mereka berbanding JDT yang hanya berjaya menyempurnakan satu tendangan sahaja.

Ini membolehkan Pahang Rangers memenangi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 3-1.

Bercakap selepas perlawanan, Casas mengakui begitu berbangga dengan persembahan skuadnya untuk menafikan kejuaraan sulung JDT.

“Pasukan kami tidak pernah berputus asa. Sebelum ini kami juga ada melakukan kebangkitan dalam beberapa aksi MPFL. Kali ini, kami lakukannya lagi,” kata Casas.

375864439_1009014200171816_4588867838525186267_n

Amin Nasrollah (kiri) merupakan penjaring terbanyak MFC musim ini. — Facebook/FAM

Semangat juang tinggi ini nyata menjadi nadi kehebatan Pahang Rangers musim ini selepas melakukannya pada perlawanan akhir MPFL di Johor pada Ogos.

Kejayaan merangkul MFC ini cukup manis buat Pahang Rangers yang turut menyapu bersih semua anugerah individu kejohanan.

Ridzwan Bakri diangkat sebagai pemain paling bernilai (MVP) dan Amin Nasrollah menjadi penjaring terbanyak dengan lima gol. Sementara Zainulzahun Sinuan dipilih sebagai penjaga gol terbaik kejohanan.

Aksi pada Ahad turut menyaksikan Selangor MAC menewaskan Terengganu 7-2 dalam aksi penentuan tempat ketiga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram